GEORGE TOWN: Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai berhasrat untuk membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang awal pagi ini.
Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat negeri, Yuhannas Faizal, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian di kilometer 4.5 jambatan itu, sebaik menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 11.36 malam tadi.
Sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa sedang bersedia untuk terjun dan pihak bomba terpaksa menggunakan kaedah psikologi untuk memujuk mangsa.
Tambahnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam memujuk dan menasihati lelaki yang berusia 42 tahun dari Paya Terubong itu yang dipercayai tertekan dengan masalah keluarga.
Lelaki itu kemudiannya membatalkan hasratnya itu sekitar 1.20 pagi dan dia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Seramai 13 anggota bomba dengan bantuan polis dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) terlibat dengan operasi menyelamatkan mangsa berkenaan.