Nak jelita tapi derita yang dapat???

SIAPA yang tidak mahu cantik.
Pelbagai kaedah dan cara digunakan bagi mencapai tujuan itu. Demi mendapatkan hasil segera, rata-rata individu yang mendambakan kecantikan tidak kisah berhabis duit asalkan berjaya mendapat hasil yang diingini.
Menyedari hakikat itu juga, kelahiran produk-produk kecantikan dalam pasaran dilihat semakin rancak umpama cendawan tumbuh selepas hujan manakala jualannya pula sehangat pisang goreng panas.
Namun persoalannya, sejauhmanakah tingkat pemahaman dan pengetahuan kita dalam aspek tersebut?
Menerusi laman web rasmi Pengurusan Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA), kajian yang dibuat saintis dermatologi terkenal dunia mendapati, lebih 80 peratus produk kecantikan yang terdapat di pasaran mengandungi bahan yang boleh menjejaskan kesihatan.
Bahan kimia berbahaya yang terkandung dalam produk kecantikan berupaya meresap masuk ke dalam kulit dan menjadi toksin. Toksin yang berlebihan akan membuatkan badan menjadi lesu dan tidak bermaya.
Ekoran itu, kita bertindak menambah dos pengambilan produk kesihatan dengan harapan untuk meningkatkan kecergasan namun sebaliknya, menambahkan lagi kuantiti toksin dalam badan.
Lebih membimbangkan, toksin yang tersimpan lama dalam tubuh akan menyebabkan pembiakan sel berbahaya, sekali gus menjemput pelbagai penyakit mengancam nyawa seperti kanser, kerosakan organ (buah pinggang) serta asid deoksiribonukleik.
Pakar Antipenuaan, Perubatan Regeneratif dan Estetik, Dr. Wan Julia Sham Ariffin berkata, mentaliti kebanyakan ahli masyarakat lebih bertumpu kepada testimoni pengguna lain walhal pernyataan tersebut belum dipastikan keberkesanannya.
Mudah terpengaruh
“Sikap mudah terpengaruh dengan testimoni sangat bahaya sebenarnya. Kita cenderung untuk mengikut membuta tuli tanpa membuat kajian terlebih dahulu terhadap kandungan yang digunakan serta kesannya kepada kesihatan secara amnya.
“Hakikatnya, semakin cepat sesuatu produk itu bertindak balas bermakna bahan yang digunakan mungkin bersifat menghakis dan menipiskan kulit,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.
Menurutnya lagi, ketaksuban wanita khususnya, untuk tampil cantik dinilai melalui warna kulit. Ideologi dangkal yang memperjuangkan fahaman ‘semakin cerah kulit seseorang, semakin cantik’.
Walhal, kulit yang ‘dipaksa’ untuk cerah bermaksud menanggalkan atau menghentikan fungsi sel melanin yang menebat sinar matahari. Pengurangan sel ini menyebabkan sinaran ultra ungu daripada matahari meresap masuk ke dalam kulit seterusnya mengakibatkan kanser kulit.
Ketua Pegawai Eksekutif City Skin Medispa, Siti Farah Azwin Abd. Khalid berkata, isu membuta tuli ini berlaku disebabkan kurangnya pengetahuan am dalam kalangan masyarakat.
Sikap memilih jalan pintas untuk cantik adalah tidak sihat kerana menurutnya, tempoh optimum untuk sesuatu produk bertindak balas adalah antara empat hingga enam minggu selepas penggunaan.
Dalam perkembangan lain, seorang penulis teknikal sebuah syarikat swasta, Nurfarahin Abdul Hisam, 24, menyifatkan ketaksuban untuk cantik ini berkait rapat dengan lambakan produk kecantikan di pasaran serta propaganda menggunakan wanita jelita membuatkan masyarakat terpengaruh untuk mencubanya sendiri serta mendapatkan kesan sebagus yang dihebahkan.
Kajian
Kajian Bahan Kosmetik (CIR) yang dijalankan oleh Majlis Produk Penjagaan Peribadi (PCPC) bertujuan untuk menilai kandungan produk kecantikan yang ada di pasaran.
Badan itu telah menjalankan kajian ke atas lebih 1,500 bahan penghasilan produk. Begitupun, hasil yang diperoleh adalah tidak seragam mengikut negara.
Contohnya, Amerika Syarikat mengharamkan lapan bahan untuk digunakan dalam kosmetik berbanding lebih 1,000 bahan yang diharamkan di Eropah.
Antara bahan berbahaya dalam kosmetik yang boleh mengancam kesihatan ialah paraben, pewarna sintetik, pewangi, ftalat (meningkatkan fleksibiliti dan kelembutan plastik), sodium lauryl sulfate dan sodium laureth sulfate, triclosan serta formaldehid (mencegah pertumbuhan bakteria).
Wan Julia berharap pihak kerajaan mengawal pengeluaran kosmetik tempatan selain mengkaji dan memeriksa kandungan serta kesannya kepada pengguna.

Post a Comment

Previous Post Next Post