KUALA LUMPUR: Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Shairol Rafizan Mohd Radzi semalam menerusi entrinya memuat naik kisah seorang wanita yang dikenali sebagai Che Aziah Che Mohd Zaki yang didakwa diabaikan oleh pihak berwajib dalam mendapatkan bantuan.
Menurut Shairol, dia terserempak dengan Che Aziah bersama dua lagi anaknya yang berusia dalam lingkungan 10 bulan dan empat tahun sedang berjalan kaki, sebelum dia memberhentikan kenderaan untuk menumpangkan tiga beranak itu.
Dalam kejadian yang berlaku di Jitra, Kedah itu, Shairol mendakwa Che Aziah yang ditinggalkan suaminya beberapa bulan lalu dikatakan mahu ke pejabat UMNO bagi memohon bantuan.
Simpati dengan nasib yang menimpa wanita tersebut, Shairol bertanya kepada Che Aziah samada dia pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak berwajib, bagaimanapun Che Aziah mendakwa dia terpaksa melalui banyak prosedur sehingga menyukarkannya memandangkan dia mempunyai masalah kewangan.
“Katanya (Che Aziah) terlalu banyak prosedur yang dia terpaksa buat sebelum permohonannya boleh diproses.
“Banyak borang-borang hatta kad pengenalannya yang terkoyak, dimintanya dibuat baru dahulu sebelum permohonannya boleh diproses. Dengan kesempitan wang, katanya dia tak mampu untuk uruskan benda-benda tu. Hendak masuk jumpa pegawai terus, dihalang,” tulis Shairol di dalam entrinya, semalam.
Nyata, kisah yang menimpa Che Aziah mengundang simpati dalam kalangan khalayak ramai.
Bagaimanapun, Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) tampil menafikan bahawa pihaknya gagal memberikan sumbangan kepada Che Aziah, selain menafikan wujud birokrasi dalam prosedur pemberian zakat.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dilaman Facebook mereka, JZNK memaklumkan bahawa bantuan telah disalurkan kepada Che Aziah pada November lalu, sebelum dia datang semula ke pejabat tersebut dua minggu lalu untuk mengisi borang.
“Che Aziah datang ke pejabat zakat pada awal November 2015 dan ceritakan mengenai penahan reman suami dan meminta bantuan daripada pihak zakat.
“Pihak zakat memberi RM100 wang kecemasan dan RM100 wang sumbangan pekerja zakat sebagai wang perbelanjaan dan menasihat Che Aziah supaya membuat kad pengenalan baru kerana kad pengenalan Che Aziah sudah terlalu uzur.. nama dan alamat Che Aziah hampir tidak boleh dibaca.
“Ini menyukarkan pihak yang lain untuk menyalurkan bantuan.
“Che Aziah datang ke pejabat kali ke-2 pada 2 minggu lepas dan diberi borang untuk diisi.
“Che Aziah diberi wang sumbangan daripada PZD Jitra sebanyak RM100 + beras untuk perbelanjaan harian,” jelas JZNK.