Yasmin Hani Tak Larang Noah Main iPad

Selebriti Yasmin Hani memberitahu dia terkejut dan kagum terhadap anak kesayangannya, Noah Ismail Wong kerana sudah tahu menulis huruf dan nombor meskipun kanak-kanak itu baru berusia dua tahun dan belum lagi pandai bercakap.
Menurut Hani, dia mula menyedari peningkatan anaknya itu sejak dia mendedahkan ipad kepada Noah. Malah gadjet tersebut sentiasa menjadi permainan anaknya.
"Saya sedar tak baik kalau anak-anak kita terlalu didedahkan dengan gadjet seperti iPad. Tapi sejak saya dedahkan pada Noah dengan gadjet tersebut, dia memang sangat menyukainya, selain itu dia juga suka tengok Youtube. Tiada salahnya kita sebagai ibu bapa beri anak kita main gadjet tapi berpada-pada lah.
"Macam Noah sekarang ni dia masih belum tahu bercakap tapi apa yang mengagumkan saya, dia sudah tahu menulis huruf ABC dan 123. Semua itu dia belajar menerusi iPad, jadi ia ada juga proses pembelajaran.
"Saya ada muat naik satu aplikasi yang menunjukkan cara-cara menulis huruf dan nombor. Sekarang ni selain iPad saya bagi dia kertas dengan pensil. Mulanya risau juga saya nak bagi dia pegang pensel takut tercucuk mata tapi memandangkan dia suka pensil, saya bagi juga lah.
"Kalau YouTube pula, jika ia berkaitan dengan interaksi dan sesuai untuk kanak-kanak, saya tidak menghalang dia menonton. Jika saya lihat ia sudah ke tahap yang tidak elok, memang tak benarkan dia main. Kadang-kadang saya sorokkan iPad dia, tapi dia mulalah menangis dan selongkar satu rumah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran animasi terbaharu Didi & Friends, di Nu Sentral, pada Khamis.
..
Bagaimanapun pelakon drama Keluarga Pontimau ini sentiasa memantau anaknya dan mengelakkan daripada dipengaruhi kesan-kesan kurang baik dek permainan teknologi tersebut.
Tidak hanya memberikan pendedahan kepada perkembangan teknologi, kata Hani, jika ada kelapangan waktu dia akan membawa Noah menjalani aktiviti di luar rumah seperti berenang, bersiar-siar dan bermain di taman permainan.
"Zaman kita dengan zaman anak-anak kita sekarang berbeza. Dulu kita mungkin boleh berbangga dengan permainan-permainan di zaman kita misalnya seperti batu seremban, galah panjang, teng-teng dan sebagainya. Tapi anak-anak sekarang di zaman moden dan canggih teknologi, tarikan mereka sudah berlainan. Mereka lebih terdedah pada permainan jenis gadjet-gadjet.
"Tapi setiap kali ada waktu lapang, saya bawa dia bersosial dan dedahkan dia kepada persekitaran misalnya bawa dia berjalan-jalan ke taman permainan atau berenang. Tidak lah dia hanya asyik dengan ipad dia saja", tuturnya lagi yang turut memberitahu sudah mula membiasakan berkomunikasi di rumah bersama Noah dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
Menyentuh pula mengenai animasi Didi & Friends, Noah buat pertama kalinya muncul menerusi video klip istimewa lagu berjudul Pokok Mulberry yang menggabungkan karakter Didi & Friends. Selain Noah, anak pengacara dan pelawak Nabil Ahmad iaitu Mika dan anak penyanyi Stacy iaitu Bella juga menjayakan klip video tersebut.
Kata Hani, dia tidak menyangka pihak Astro sudi menawarkan Noah untuk terlibat sama menjayakan klip video animasi tersebut kerana anaknya itu masih kecil. Tetapi dia dan suaminya Sha'arin, tidak keberatan untuk menerima tawaran tersebut kerana merasakan ia juga satu lagi pendedahan yang baru untuk Noah.
..
"Dia masih kecil, dan belum tahu apa-apa. Jadi kami fikir apa lah yang dia boleh buat dalam video klip itu nanti. Tapi saya dan suami fikirkan semula, apa salahnya untuk dia mencuba sesuatu yang baru. Lagipun program ini adalah program tentang lagu-lagu kanak-kanak dan dalam masa sama ada proses pembelajaran.
"Sekurang-kurangnya jika dia sudah biasa di dedahkan dengan persekitaran seni, mungkin nanti lama-lama dia akan mudah faham juga kerja mummy dia. Kami suami isteri pun tidak menghalang jika minatnya cenderung terhadap bidang seni," ujarnya.
Didi & Friends disiarkan di Astro Ceria saluran 611 mulai 8 Disember 2015.
Perkembangan lain, Hani baru saja selesai menjalani penggambaran program Kau Dah Ready Ker Parodi terbitan Astro dan program Timang Anakku Sayang terbitan RTM.
Selain itu, dia sibuk mengusahakan spa bayi Hippopo yang terletak di Empire Shopping Gallery, Subang. Hani juga baru menjalankan perniagaan menerusi online iaitu koleksi baju-T kanak-kanak menerusi jenama 'Incredible Nuun' yang mana jenama tersebut diinspirasikan daripada nama Noah.

Post a Comment

Previous Post Next Post