Pada Ahad lalu, Faezah Elai atau nama sebenarnya Nor Faezah Md Elai, 34, telah mengadakan majlis akikah dan cukur jambul untuk anak keduanya yang bernama Aurora Heyrinna Heykal.
Majlis tersebut bukan sekadar meraikan bayi berusia hampir dua bulan itu, malah ia juga kesempatan untuk Faezah dan suaminya pengarah drama, Heykal Hanifah menguar-uarkan kepada umum mengenai kelahiran puteri kedua hasil perkongsian hidup mereka sejak 2012.
Menurut Faezah, kelahiran puterinya itu pada 8 Disember lalu tidak diketahui ramai kerana dia kurang mendedahkan hal itu sejak awal kehamilan.
"Saya dan suami ambil peluang untuk hebahkan kelahiran anak kedua kami pada majlis ini. Ramai tidak perasan mengenai kelahirannya.
"Sejak mengandung pada Mac tahun lalu, kesihatan saya kurang stabil jadi memang tidak sempat berkongsi mengenai berita gembira ini dan kelahiran Aurora," ujar Faezah dipetik sebagai berkata.
Justeru itu, pada majlis yang dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat, Faezah yang kini masih dalam pantang itu berkongsi perkara itu buat julung kalinya di kediaman mereka di Kajang, Selangor.
Jelasnya lagi, pada majlis sama dia dan Heykal turut meraikan sambutan ulang tahun anak tirinya, Luqman Hakim, 16, Sarah, 14, dan Luq Adam, 6.
Mengenai kerjaya lakonannya, Faezah berkata proses berpantangnya hampir selesai, tetapi dia belum bersedia untuk kembali aktif berlakon. Katanya, buat masa ini dia ingin tumpukan perhatian terhadap anak.
Sumber - www.myartis.com
Tags:
OMG