5 Aduan not RM100 palsu diterima polis
Polis Perlis menerima lima aduan berkaitan not RM100 palsu sejak 1 Jan hingga semalam, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil DSP Mohd Rawi Ab Ghani.
Beliau berkata wang kertas palsu itu kelihatan seperti tulen tetapi tiada ciri keselamatan seperti pantulan cahaya ungu manakala nombor sirinya sama.
“Permukaan kertas not RM100 palsu ini lebih kasar dan tebal berbanding not tulen. Polis masih menyiasat aduan-aduan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang memalsukan, mengguna dan memiliki wang palsu adalah salah mengikut Seksyen 489A, 489B dan 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Individu yang memiliki mata wang palsu dengan maksud menggunakannya juga boleh dihukum penjara sehinga 10 tahun, kata Mohd Rawi.
Beliau meminta orang ramai agar lebih berwaspada menggunakan wang kertas dalam urusan harian dan meminta mereka menyalurkan maklumat mengenainya kepada IPK Perlis di talian 04-9082280 atau emel urjsjk_pls@rmp.gov.my.
Sumber: BERNAMA