TEHRAN: Anggota Marin Amerika Syarikat dilaporkan menangis ketika ditahan tentera Iran kerana menceroboh perairan negara itu Selasa lalu.
Iran menahan 10 kelasi Amerika di atas dua bot Tentera Laut di Teluk Selasa lalu dalam kejadian yang mengejutkan beberapa hari menjelang pelaksanaan perjanjian nuklear bersejarah dengan Tehran.
Pendedahan dibuat Timbalan Komander Perbadanan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Brigadier Jeneral Hossein Salami, pada hari sama Menteri Luar, Mohammed Javas Zarif, mengadakan rundingan dengan Setiausaha Negara Amerika, John Kerry, mengenai penarikan semula sekatan terhadap Iran.
"Anggota marin menangis ketika ditangkap tetapi kemudian berasa lega selepas tentera IRGC melayan mereka dengan baik," katanya.
Salami memberitahu, selepas kejadian itu ahli politik Amerika meminta rakan sejawatan mereka di Iran membebaskan anggota terbabit dalam siri panggilan telefon.
"Amerika mengaku kekuatan dan pengaruh Iran, dan kami membebaskan anggota marin itu selepas memastikan mereka memasuki perairan Iran secara tidak sengaja dan kami mengembalikan senjata mereka," katanya.