Cukuplah Sebar Aib , Bila Ada Zuriat Anda Tahu Bertapa Susahnya Jaga Seorang Anak- Bapa Nur Amirah

Kuala Lumpur: “Cukuplah dengan apa yang berlaku...sebagai bapa, saya memohon kepada pihak berkenaan supaya menghentikan penyebaran video parodi terbabit.

“Mungkin mereka yang merakamkan video berkenaan masih belum berkahwin atau memiliki anak.
“Apabila tiba masa kelak, saya percaya mereka pasti faham betapa sukarnya (mendidik zuriat),” kata bapa kepada remaja perempuan berusia 14 tahun yang mereka cerita dirinya diculik, Abdul Majid Landu, 40.

Menurut Abdul Majid, dia akur dengan dugaan yang diterima dan berharap masyarakat tidak terus menuding jari dan mencemuh keluarganya.

“Mungkin hari ini hari saya (diduga). Namun, sebagai bapa dan bagi pihak Nur Amirah Atirah sendiri, saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia.

“Hentikanlah segala bentuk penyebaran tidak kira rakaman audio mahupun video parodi. Sudah-sudahlah menyebarkan aibkan keluarga kami,” katanya sebak.

Jelas Abdul Majid, dia menerima semua yang berlaku dan menganggap kejadian itu sebagai iktibar serta pengajaran terbaik buat keluarganya.

“Baik atau buruk, Nur Amirah tetap anak saya. Begitupun, saya harap apa yang berlaku kepada keluarga kami ini dapat menjadi teladan terbaik buat semua,” katanya.

Semalam, rakaman perbualan Nur Amirah mereka cerita dirinya diculik dari kawasan perumahan di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, terus viral di laman sosial berikutan dijadikan bahan parodi menerusi aplikasi telefon pintar Dubsmash.

Video pendek berdurasi satu minit 32 saat itu mengajuk kembali rakaman perbualan telefon antara Nur Amirah dengan kakak angkatnya, Noor Fazila Misnan, 23.

Berlatar belakangkan ruang dalam rumah dan ceruk bilik, video itu dilakonkan seorang lelaki berpakaian wanita dengan memek muka mengejek.

Video itu bukan saja dikongsi ramai pengguna laman sosial, malah turut disebarkan pemilik portal sebagai bahan jenaka.

-

Post a Comment

Previous Post Next Post