DAKWA ADA 'SIJIL TUNANG' ELAK DICEKUP


Ahmad Nawi (kiri) sedang menyoal siasat pasangan kekasih yang dicekup, semalam.

AMPANG - “Kami ada ‘sijil tunang’,” itu antara alasan pasangan kekasih yang mendakwa sudah bertunang ketika dicekup dalam operasi cegah maksiat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, di sebuah pangsapuri, di sini, awal pagi, semalam.

Pegawai Masjid Al- Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, siasatan mendapati pasangan tersebut tidak mempunyai ikatan pertunangan.

“Saya difahamkan tidak ada ‘sijil tunang’ dikeluarkan oleh jabatan agama, sijil yang dikeluarkan hanya Sijil Kursus Pra Perkahwinan dan Sijil Nikah,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pihaknya bersama Rela bergegas ke rumah itu untuk melakukan pemeriksaan kira-kira jam 12.40 pagi setelah menerima aduan orang awam.

“Kita ketuk pintu sambil memperkenalkan diri untuk pemeriksaan dan temui sepasang suami isteri sedang makan di ruang tamu, sebelum seorang lelaki berusia 25 tahun keluar dari tandas,” katanya.

Beliau berkata, lelaki yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu memberi alasan tinggal sebilik dengan abang angkat dan isterinya.

“Siasatan lanjut, kita jumpa seorang wanita berusia 23 tahun dalam bilik berasingan di rumah tersebut dan pasangan kekasih itu mengaku tinggal di rumah tersebut sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pihaknya membawa pekerja sebuah klinik bersama teman lelakinya ke Balai Pandan Indah untuk membuat laporan.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. - SUMBER SINAR HARIAN

Post a Comment

Previous Post Next Post