Perlu Lapor Polis 24 Jam Sebelum Laku Hubungan Seksual


YORKSHIRE: Seorang lelaki di Briton, dibebaskan dari tuduhan merogol seorang wanita, tetapi diarahkan memaklumkan kepada polis 24 jam sebelum mengadakan hubungan seks. 

Lelaki 40-an itu dibebaskan pada 2015 selepas dibicarakan semula apabila mendakwa mangsa bersetuju. 

Arahan risiko seksual sementara yang ditetapkan pada Disember lalu itu dilanjutkan selama empat bulan oleh majistret di York. 

Ia memerlukan lelaki terbabit untuk mendedahkan sebarang aktiviti seksual yang dirancang kepada pihak polis atau berdepan sehingga lima tahun penjara. Menurut laporan, arahan disediakan majistret di Northallerton, North Yorkshire itu menyebut: 

"Anda perlu mendedahkan butiran mana-mana wanita, termasuk namanya, alamat dan tarikh lahir. Ia mesti dilakukan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum sebarang aktiviti seks dilakukan." 

Lelaki itu juga dilarang menggunakan telefon bimbit dan Internet serta perlu memaklumkan kepada polis jika ada perubahan pada alamat tempat tinggalnya. Mahkamah pada Mei akan memutuskan sama ada arahan itu akan dilanjutkan. 

Arahan risiko seksual diperkenalkan di England dan Wales pada Mac tahun lalu dan boleh digunakan ke atas mana-mana individu yang dipercayai polis boleh menimbulkan risiko bahaya seksual walaupun mereka tidak pernah disabitkan dengan jenayah. - AGENSI


Post a Comment

Previous Post Next Post