'Gaji Saya RM1,200 Tanpa Cuti'


Masa tengah duduk menunggu anak-anak bermain di taman, tiba-tiba ternampak seorang lelaki yang sedang solat di penjuru taman, di kawasan Alamanda, Putrajaya. 

Selepas solat, aku panggil dia bersembang-sembang dengan aku. Nama dia Amin. Sudah dua tahun tinggal di Malaysia selepas melarikan diri dari kezaliman Junta, tentera Burma dan tok sami mereka. 

Amin kerja di Alamanda sebagai pencuci. Tugas dia, menyapu sampah di sekitar kawasan taman permainan di Alamanda. Gajinya RM1,200 sebulan tanpa cuti. Kalau cuti, gaji dia akan dipotong. 

Ya Allah, dia ini rupanya boleh menghafal banyak surah Al-Quran. Dia merindui anak-anak, isteri dan ibu bapanya di kampung. Dia tidak boleh balik ke Burma sudah. Jika dia balik, dia pasti akan dibunuh. 

Cuma yang aku terkesan apabila dia berkata yang dia berharap akan berjumpa dengan keluarga dia di jannah. Dia nasihatkan aku supaya banyak bersyukur dan solat tahajjud. Amin ini ustaz di kampung dia rupanya.

Tadi bila anak aku beri sedikit wang ringgit kepada dia untuk makan malam, terus dia menangis dan mencium anak bongsu aku. Aku pun cepat-cepat bagi salam pada dia sebab nanti aku pula yang turut menangis sama.

Dia menangis mungkin dia teringat pada anak-anaknya yang berumur 5- 10 tahun.  - Adi Kampung Kuak | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM

Post a Comment

Previous Post Next Post