Harga Sayur & Ikan Naik Lebih RM2


KUANTAN - Kekurangan bekalan sayur serta ikan pada musim tengkujuh antara faktor bahan mentah naik. Sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, sawi, kacang, bendi dan juga kubis dilaporkan mula naik harga sekitar 30 sen sehingga 50 sen sejak awal musim tengkujuh yang lalu, lapor Sinar Harian.

Tinjauan di Pasar Besar Kuantan mendapati harga ikan dan sayur melambung naik kerana harga yang diambil dari peraih tidak sama sebelum musim tengkujuh. 

Peniaga, Lizawati Mohd Rafi, 33, berkata, bekalan sayur seperti sawi, kangkung, salom dan ulam raja memang kurang ketika musim hujan. Dia yang hanya mengambil bekalan tempatan sebelum ini terpaksa mengimport untuk memenuhi permintaan.

Bagi Hamizah Hamzah, 44, yang sudah berniaga sayur-sayuran 10 tahun turut mendapat harga tinggi dari orang tengah.

"Bayam sebelum ini RM4 sekilogram, sekarang dah naik jadi RM6. Sayur sawi pula dari RM5 sekilogram dah jadi RM7. Mahu atau tidak, saya ambil juga. Memang biasa seperti ini. Pelanggan juga sudah sedia maklum keadaan ini dan tidak menjadi masalah untuk mereka membeli sayur dari saya," katanya.

Menurut peniaga ikan, Khairuddin Ismail, 57, berkata, harga ikan juga naik disebabkan nelayan sudah lama tidak turun ke laut. Ada ikan yang dijual segar termasuk ikan sejuk beku untuk memenuhi permintaan pelanggan. 

"Ikan kotak disimpan orang tengah untuk bekalan musim tengkujuh. Bekalan ini dikeluarkan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Kenaikan harga mungkin hanya pada kadar RM1 atau RM2 sekilo. 

Peniaga kedai runcit, Zalina Chik berkata, harga ikan selayang segar kini dijual RM10 sekilogram berbanding RM6 sebelum ini. 

"Kedai saya hanya jual ikan segar saja dan harga memang mahal dari biasa kerana harga dari peraih sudah tinggi. Ikan pelaling dulu RM6 sekilogram, sekarang RM13. Harga sayur pula naik seringit atau dua ringgit sekilo," katanya. - SINAR HARIAN | THEHYPEMEDIA.COM

Post a Comment

Previous Post Next Post