Penyanyi Fynn Jamal dituduh sebagai penganut fahaman Syiah oleh segelintir pengikutnya di Instagram gara-gara penampilannya yang sering berjubah hitam.
Fynn atau nama sebenarnya Affina Yanti Jamalludin, 33, berkata, perkara itu ternyata langsung tidak berasas dan terkejut dituduh seperti itu yang disifatkan sebagai melampau.
“Kalau di akaun Instagram saya, macam-macam tuduhan pelik yang dilemparkan pada saya.
“Sampaikan imej saya yang sering berjubah hitam pun menjadi isu kononnya saya adalah pengikut fahaman Syiah. Tuduhan itu memang mengarut.
“Sebagai seorang wanita Islam, saya tidak akan sesekali mengamalkan fahaman yang bercanggah dengan hukum syarak,” katanya kepada mStar Online.
Fynn ditemui pada majlis pelancaran produk Cereal Caliph-Nutrition For Eyes di Flora Terrace di sini pada petang Selasa.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Urusan Raffelinna iaitu Muhammad Rafi’e Ramli duta produk tersebut, Mia Sara.
Dalam pada itu, jelas Fynn, dia kerap memakai jubah hitam kerana menyifatkan ia adalah warna dan pemakaian yang mudah digayakan ke mana-mana sahaja.
“Kalau nak tahu, dahulu setiap hari saya dan suami ada masalah untuk berfikir baju apa yang perlu dipakai.
“Pada pengakhirannya, saya dan juga suami memutuskan untuk memakai baju hitam sahaja. Bukan orang luar sahaja bercakap, ibu dan ayah saya pun bising ‘dah tak ada warna baju lain ke?’ Hahaha…Bagi saya, yang penting baju dipakai itu bersih,” ujarnya.
Sementara itu, Fynn turut merupakan duta kecil produk Caliph di mana dia akan berkongsi mengenai perkembangan anaknya, Arjuna, yang merupakan kanak-kanak Autisme di laman sosial miliknya menerusi pengambilan produk Caliph.
“Saya bersyukur, sejak diperkenalkan produk pertama Caliph iaitu jus makanan tambahan kanak-kanak, banyak perubahan yang saya lihat pada diri Arjuna.
“Dia tidak mesra dengan orang yang tidak dikenalinya dan ada masanya dia mempunyai dunia fantasi yang tersendiri.
“Tetapi, sejak mengamalkan produk ini, Arjuna mula memberi fokus dalam setiap tingkahnya. Saya harap dapat melihat lebih banyak progres daripada dia. Dan InsyaAllah, produk baharu Caliph Cereal akan memberi perubahan ketara dalam diri anak saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fynn bakal muncul menerusi single lagu baharu berjudul Kalau, dengan menampilkan kumpulan Kopratasa.
Sumber: Mstar