KEPALA BATAS: Usia mereka masih mentah tetapi mereka sentiasa dilihat berkeliaran membuat jualan amal atau dalam kata lain mengemis di tempat awam tanpa mengira waktu siang atau malam.
Secara logiknya ibu bapa tidak akan membenarkan anak-anak mereka bekeliaran di tempat awam terutama pada waktu malam.
Tetapi lain pula penjelasan seorang ibu yang anaknya ditahan dalam operasi menyelamat kanak-kanak yang dieksploitasi untuk mengemis di sini pada 13 Januari lepas.
Wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an itu, yang juga bekas guru, tidak kisah sebaliknya menggalakkan anaknya melakukan jualan amal atau mengemis di tempat awam bagi mendapatkan dana untuk sekolah.
Beliau malah menganggapnya sebagai satu cara melatih mereka berdikari.
Wanita yang tidak mahu namanya disiarkan itu berkata mengemis atau meminta derma bukanlah sesuatu yang salah, namun sangat digalakkan sebagai memenuhi aktiviti ko-kurikulum sekolah tahfiz anaknya yang terletak di Yan, Kedah.
"Biarlah mereka minta derma, agar dapat bantu anak-anak lebih tahu dan faham erti hidup susah dan perkara ini tidak diajar di sekolah aliran kebangsaan," katanya ketika ditemui di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Prai Utara di sini.
Ibu kepada lima anak itu merupakan satu-satunya waris yang hadir di pejabat itu berhubung penahanan anaknya dalam operasi menyelamat kanak-kanak yang dieksploitasi bagi tujuan mengemis di sekitar daerah Seberang Prai Utara di sini.
Tahfiz benar pelajar mengemis?
Wanita itu berkata kesemua anaknya dihantar ke sekolah tahfiz berkenaan bermula usia tujuh tahun dan tiga daripadanya telah menamatkan pengajian, manakala seorang lagi meninggal dunia.
"Anak yang kena tahan ni anak kakak yang kelima, dia dah berumur 17 tahun dan akan selesai belajar mungkin tahun depan," katanya.
Dalam operasi bermula pukul 3 petang hingga 10 malam tadi itu, seramai 10 kanak-kanak (lapan lelaki dan dua perempuan) yang mengemis di sekitar beberapa bank di Kepala Batas, Kiosk Bertam Perdana, Bandar Sunway dan Perda, diselamatkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengarah JKM Pulau Pinang Said Sidup berkata kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun itu dipercayai dihantar oleh guru mereka ke lokasi berkenaan untuk melakukan jualan amal dan mengemis kononnya bagi mendapatkan dana untuk sekolah tahfiz mereka.
"Tujuh daripada kanak-kanak yang diselamatkan adalah pelajar sekolah tahfiz yang menurut mereka sekolah ini terletak di Yan, Kedah, manakala tiga lagi kanak-kanak rakyat asing.
"Selain kanak-kanak, dalam operasi ini kami juga menahan enam dewasa yang mengemis, tapi fokus kami dalam operasi kali ini ialah kanak-kanak," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi itu.
Said berkata kanak-kanak yang dieksploitasi bagi tujuan mengemis itu akan diberi perlindungan mengikut peruntukkan Akta Kanak-kanak 2001 dan akan ditempatkan di rumah perlindungan di Taman Bakti Kepala Batas untuk sementara waktu.
"Operasi pada malam ini turut melibatkan pihak polis dan anggota penguatkuasa daripada Jabatan Agama Islam kerana kebanyakan kanak-kanak yang mengemis ini belajar di sekolah tahfiz," katanya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memantau aktiviti anak-anak mereka terutama yang tinggal di asrama bagi mengelakkan mereka terjebak dengan kegiatan tidak bertanggungjawab itu.
"Mereka masih kecil dan tidak seharusnya berada di luar tanpa pengawasan orang dewasa hingga lewat malam kerana mudah terdedah dengan pelbagai bahaya," katanya.