Pelakon Falisha Crossley sanggup berkorban memotong rambutnya demi watak yang dilakonkan dalam filem Mat Moto yang sudah mula ditayangkan di pawagam sejak 14 Januari lalu.
Falisha, 30, berkata, dia teruja dan bersyukur kerana diberi kepercayaan menggalas peranan sebagai heroin dalam filem arahan kolaborasi Pekin Ibrahim dan Syafiq Yusof itu. Menyifatkan ia sebagai rezeki, justeru dia tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut bagi meyerlahkan lagi bakat lakonannya.
"Saya teruja dan bersyukur kerana diberi kepercayaan berlakon dalam filem ini. Saya sanggup potong rambut demi hidupkan watak kali ini.
"Saya harap lakonan saya dapat respon positif daripada penonton," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut, baru-baru ini.
Menghidupkan watak sebagai Sikha, karakter tersebut menuntut gadis bertubuh kecil molek ini mempotreykan dirinya seperti seorang gadis punk.
"Sebelum masuk ke set saya ada buat kajian sendiri. Selama tiga minggu saya bergaul dengan budak-budak punk yang menggelarkan diri mereka sebagai Punk Cinderella. Daripada mereka, saya berlajar sikit sebanyak perwatakan seorang yang beimej punk. Saya belajar cara bercakap, cara berjalan termasuklah penampilan.
"Selain itu, Pekin ada beri saya tonton filem yang memaparkan kehidupan gologan punk dan skin head seperti Ophilia dan Emily sebagai rujukan tambahan," kongsinya yang sebelum ini sebelum pernah membintangi drama seperti Derhaka Seorang Madu, Istiqarah Cinta, Selamat Pengantin Madu dan terbaharu Memori Cinta Suraya.
Selain Falisha, Mat Moto diterajui Pekin Ibrahim dan barisan pelakon lain seperti Shaheizy Sam, Faizal Hussein, Rosyam Nor.
Mat Moto merupakan filem kedua yang mencatat kutipan tertinggi pada hari pertama tayangan selepas KL Gangster yang mengaut RM1.5 juta pada tahun 2011.
Filem ini mengisahkan AL iaitu pemilik syarikat suntingan filem menjelajah empat negeri bagi menunaikan hajat sahabatnya, Spark yang terkorban dalam nahas jalan raya.
Misi AL yang dilakonkan Pekin, adalah untuk mencari empat topi keledar yang menjadi buruan penggemar motosikal di seluruh negara.
Turut serta dalam misi itu adalah pelajar praktikal, Sikha lakonan Falisha. Dalam diam, AL dan Sikha memendam perasaan apabila masing-masing saling jatuh cinta.
Begitupun Sikha menyembunyikan rahsia yang boleh menggugat hubungan mereka.