ALOR SETAR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) meminta orang ramai yang menunggang motosikal ke masjid untuk menunaikan sembahyang terutama solat Jumaat agar memakai topi keledar.
Ketua Pengarahnya, Abd. Ghafar Yusof berkata, ramai penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak memakai topi keledar ketika hendak ke masjid.
“Kalau mereka hendak ke tempat kerja atau sebagainya, mereka akan memakai topi keledar, tetapi jarang jika hendak ke masjid,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Program Perjalanan Selamat Long Short Walk 2016 peringkat negeri di sini semalam.
Beliau berkata, statistik menunjukkan 3,223 penunggang dan pembonceng motosikal maut bagi tempoh Januari hingga September 2014 dan 3,098 kematian bagi tempoh sama tahun 2015.
“Di Kedah misalnya hampir 80 peratus kemalangan membabitkan motosikal, malah antara puncanya adalah melanggar lampu isyarat,” katanya.
JKJR mendedahkan berdasarkan statistik seluruh negara lebih 60 peratus kes kematian akibat jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Malah secara purata lebih 12 penunggang dan pembonceng motosikal maut akibat kemalangan.