Meskipun sibuk dengan penggambaran namun pelakon Remy Ishak, 34, berhasrat melunaskan janji untuk membawa ibunya ke Tanah Suci Makkah pada hujung Januari ini.
Memetik laporan BH online, Remy berkata, beliau bersyukur kerana dalam kesibukan mencari rezeki, dirinya dijemput juga untuk menjadi tetamu Allah.
Ketika ini, Remy terikat dengan penggambaran drama bersiri Rumi dan Jawi karya Erma Fatima. Dalam drama itu, beliau digandingkan dengan Fathia Latiff.
Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Nur Kasih itu turut memberitahu, seluruh tenaga produksi drama rantaian berkenaan akan terbang ke New York bagi menghabiskan beberapa lagi episod.
"Saya sudah lama menyimpan hajat untuk membawa ibu menunaikan umrah di Makkah. Alhamdulillah, tahun 2016 membuka tirai dengan perkara baik dan sekali gus saya dapat menunaikan janji yang sudah lama tertangguh kepada ibu.
Biarpun jadual kerja saya agak padat pada bulan ini, namun tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk melawat tempat Nabi harus diutamakan. Jadi, sehari selepas menjalani penggambaran di New York, saya akan ke Makkah pula," katanya.
Remy merancang untuk berada di Tanah Suci selama sembilan hari.