‘Sey pondam dan nangis dalam hati’ – Warga emas ini luah perasan cintanya kepada isteri hidap stroke

Melihat susuk tubuh dan riak wajah lelaki tua ini, siapa sangka dia benar-benar mengotakan ikrar janji cintanya buat isteri yang dikahwini atas dasar suka sama suka kira-kira 64 tahun lalu di Kampung Talang, Kuala Pilah.

Warga emas berkenaan tidak pernah sesekali menjadikan faktor usianya yang sudah mencecah 80 tahun sebagai halangan untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga isterinya, Tomah Maamin, 81, yang diserang strok sejak lebih empat tahun lalu.

‘Sey pondam dan nangis dalam hati’ - Warga emas ini luah perasan cintanya kepada isteri hidap stroke

‘Sey pondam dan nangis dalam hati’ – Warga emas ini luah perasan cintanya kepada isteri hidap stroke

“Cinta… tak boleh buang… dulu sey kahwin suko samo suka, duduk pun solaman yo… bilo jadi macam ni, tak kan sey nak buang rasa cinta sey yang dulu tu,” kata Harun Ali, 80, ketika ditemui Sinar Harian dan ahli Persatuan Sukarelawan Tampin (PST) sempena program Jalinan Kasih PST di Felda Bukit Jalor, di sini, kelmarin.

Harun berkata, pada 2006, dia pernah menjalani pembedahan kerana sakit di bahagian usus dan isterinya yang menjaganya sehingga dia sembuh.

“Sey tak kan lupo apo yang isteri sey dah korbankan tuk sey, bilo isteri sey diserang sakit strok, sey ambil-alih tugas dia membersihkan rumah termasuklah memasak makanan,” katanya.

“Sejak isteri sey sakit… hari-hari sey masakkan pindang tuk dio, tak do lah podeh sangat. Bolehlah dio makan tak sakit perut,” katanya turut memberitahu tiga anaknya akan pulang bergilir-gilir hantar makanan kepada mereka.

Menurutnya, hampir setiap hari rutinnya bermula seawal jam 6 pagi dan sesudah solat, dia akan menyediakan sendiri sarapan pagi memandangkan isterinya tidak mempunyai kudrat untuk berdiri selepas diserang strok pada bahagian badan kanannya.

“Isteri pula akan sey hidangkan sarapan jam 8 pagi. Mujur isteri sey masih lagi boleh bangun dengan bantuan tali yang diletakkan berhampiran tempat tidur dan sey tunggunya untuk duduk di atas kerusi roda serta dibawa ke bilik air untuk mandi,” katanya.

“Isteri sey pakai pampers untuk buang air kecil yo, tapi kalau nak buang air bosa, sey seperti biasa akan tunggu dia duduk di kerusi roda dan menolaknya hingga ke bilik air. Sey tadahkan dengan bokeh sebab sey tahu, isteri mesti tak selesa jika terberak dalam pampers,” katanya.

Harun berkata, dia akan menjaga isterinya sebaik mungkin sehingga ke hujung hayatnya.

“Tak tahu lah sapo yang poie (meninggal dunia) dulu… tapi kalau sey poie dulu, isteri sey anak atau cuculah yang jago, jika isteri sey poie dulu, sey pun samo anak atau cucu jago.

“Tapi selagi sey dan isteri hidup, kami akan tetap bersama serta tinggal di sini di rumah kami suami isteri,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak pernah bergaduh terlalu lama kerana dia sendiri bimbang sekiranya rajuk isteri berpanjangan, siapa pula yang mahu memasak untuknya.

“Kini tak polah, sey ambil alih tugas isteri sey… selalu juga sey sodeh tengok keadaannya ini yang sudah terlantar sejak lebih empat tahun tapi sey pondam dan nangis dalam hati jo… Sey tak nak isteri susah hati melihat saya,” katanya.

Sempena program itu, Pengerusi PST, Baharudin Rashid menyampaikan sumbangan lampin pakai buang, makanan keperluan harian dan wang tunai buat pasangan berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Bukit Jalor, Halimah Sabtu dan Ketua Blok 5B Felda Bukit jalor, Jamaludin Ali.

Sumber : Sinar

Post a Comment

Previous Post Next Post