150 Syarikat Minyak Dunia Bakal Muflis

KUALA LUMPUR: Kira-kira 150 buah syarikat minyak dan gas dunia dijangka jatuh muflis ekoran kejatuhan harga minyak mentah yang terus memberi tekanan hebat kepada prestasi keuntungan syarikat terlibat.
Menurut perunding tenaga, IHS Inc. yang dipetik oleh stesen RTM, bilangan syarikat yang berisiko ‘hancur’ adalah lebih dua kali ganda daripada 60 pengeluar yang setakat ini telah pun memfailkan status bankrap mereka.
Harga minyak mentah antarabangsa telah jatuh 70 peratus dalam tempoh dua tahun susulan banyak pengeluar minyak shal di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan meningkatkan pengeluaran melebihi permintaan semasa.
Manakala Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada masa sama pula terus membanjiri pasaran antarabangsa dengan bekalan minyak mentah yang dianggap amat berlebihan daripada sepatutnya.
Lebih banyak syarikat dijangka memfailkan status muflis sekali gus merupakan petanda bahawa harga bahan tenaga ’emas hitam’ itu sebenarnya telah mencecah paras tercorot dalam rekod sejarah dunia sendiri.
Selain itu banyak syarikat terlibat juga terpaksa meningkatkan tawaran bagi aset minyak dan gas yang kini dalam jualan bernilai AS$230 bilion untuk menanggung kerugian ekoran harga bahan api itu semakin murah.
Dalam pada itu, agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan harga minyak mentah AS menurun dan terus menurun dalam dagangan awal Asia berikutan simpanan minyak kini mencecah rekod paras tertinggi.
Menurut hasil kajian terbaharu dikeluarkan oleh firma analisis terkenal Goldman Sachs, harga komoditi tersebut akan kekal rendah dan tidak menentu sehingga separuh tempoh kedua pada tahun ini.
Minyak mentah AS, West Texas Intermediate diniagakan pada AS$27.37 setong, jatuh lapan sen berbanding penutup sebelumnya, dan lebih 20 peratus lebih rendah berbanding paras tertinggi dicapai akhir Januari.
Inventori di Cushing, Oklahoma bagi penghantaran minyak mentah AS yang sebelum ini mencatatkan peningkatan kini hanya merekodkan 65 juta tong, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga kerajaan AS pada Rabu.
Lebihan bekalan minyak itu, turut didorong akibat ekonomi perlahan di China, sekali gus mengukuhkan harga akan kekal rendah sehingga separuh kedua tahun ini, kata Goldman Sachs dalam satu kenyataan media.
“Risiko kebimbangan pertumbuhan lembap ekonomi di China dan penurunan harga minyak global… satu kenyataan lebih cepat daripada apa yang kita jangkakan sendiri,” kata jurucakap firma berkenaan.
“Kami menjangkakan harga turun naik antara AS$20 setong (paras tekanan operasi) dan AS$40 setong (paras tekanan kewangan) dengan situasi turun naik tiada trend harga sehingga pertengahan 2016,” katanya lagi.
Harga minyak sejagat sudah jatuh hampir 75 peratus sejak pertengahan tahun 2014 berikutan tindakan negara-negara OPEC sengaja mengepam minyak antara satu hingga dua juta tong minyak mentah sehari.
Ia sebenarnya melebihi daripada permintaan semasa. Lebih memburukkan lagi keadaan, ekonomi China juga dilaporkan menunjukkan pertumbuhan pada kadar rendah.

Post a Comment

Previous Post Next Post