KAJANG: Seorang warga Bangladesh yang menegur sekumpulan lelaki warga Vietnam mabuk, dibelasah hingga cedera dalam kejadian di Semenyih, semalam.
Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa sedang tidur dan menegur kumpulan lelaki terbabit yang membuat kecoh di kawasan rumahnya.
Bagaimanapun, seorang daripada kumpulan lelaki itu berang sebelum mengambil kayu dan parang, lalu menyerang mangsa.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisiner Willey Richard berkata, berlaku pergaduhan antara mereka dan warga Bangladesh itu dibantu dua rakannya sebelum seorang pengawal keselamatan yang melihat kejadian menghubungi polis.
"Polis menahan lima warga Vietnam dua warga Bangladesh berusia 19 hingga 38 tahun yang terbabit dalam pergaduhan itu.
"Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Semenyih untuk disoal siasat dan direman selama tiga hari sehingga esok," katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk dirawat dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.