SKUAD Liga Super Felda United akan diberi keutamaan menggunakan Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang yang siap dibina tahun lepas, dengan kos keseluruhan mencecah RM92 juta.
Timbalan Pengarah Besar Felda (Pembangunan Komuniti) Anuar Malek berkata. stadium yang boleh memuatkan lebih 20,000 penyokong itu perlu dijaga sebaik mungkin, terutama padang rumput tiruan yang dipasang di padang berkenaan.
"Kita membelanjakan hampir RM2 juta untuk pemasangan rumput tiruan yang diimport khas dari luar negara, jadi kita mahu ia dijaga dengan sebaik mungkin.
"Pasukan Felda United akan diberi keutamaan menggunakan stadium berkenaan namun kita akan mempertimbangkan penggunaan stadium itu untuk kegunaan lain bagi memastikan rumput tiruan di situ dapat bertahan lama," katanya.
Anuar berkata demikian selepas sidang media menjelang perlawanan akhir Piala Pengerusi Felda 2015, antara Felda Wilayah Jengka dan Felda Wilayah Gua Musang, di Menara Felda, di Kuala Lumpur, hari ini
Beliau berkata, antara kemudahan yang terdapat di stadium berkenaan adalah bilik sauna, bilik persalinan pemain, gimnasium, tandas, bilik solat dan beberapa kemudahan lain.
Aksi final Piala Pengerusi Felda 2015 adalah perlawanan rasmi pertama di stadium berkenaan yang dinamakan Stadium Tun Abdul Razak bagi mengiktiraf sumbangan tidak ternilai Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang menjadi pencetus idea penubuhan Felda yang kini menjadi sebuah syarikat terkemuka di rantau Asean.
Perlawanan akhir berkenaan akan berlangsung esok.