DUNGUN: Fenomena kerang naik ke darat yang pernah berlaku di kawasan Pantai Sura kira-kira dua tahun lalu kembali berulang.
Kemunculan ribuan spesies hidupan laut bercangkerang itu dikatakan melanda kawasan pantai tersebut sejak petang kelmarin sekali gus menjadikan kawasan itu seperti pesta apabila dipenuhi penduduk setempat dan orang ramai untuk melihatnya secara dekat.
Malah sebilangan besar pengunjung di pantai berkenaan tidak melepaskan peluang untuk mengaut hasil laut itu dan ada yang mendakwa memperoleh antara 10 kilogram (kg) hingga 15kg kerang dalam tempoh setengah jam sahaja.
Tinjauan Kosmo! di sepanjang pantai itu mendapati orang ramai termasuk komuniti Kampung Sura dan Kampung Seberang Pintasan di sini mula turun ke pantai itu sejak awal pagi semalam untuk mengutip kerang yang terdampar di pantai sebagai juadah masakan.