PULAU PINANG: Pengusaha restoran nasi kandar, Syed Amen Abdul Jainul Abdin, 46, pernah membayangkan dia akan mati ditembak suatu hari nanti.
Kemungkinan itu dibayangkan Syed Amen menerusi status laman sosial Facebooknya yang menggunakan nama Amin Beyond pada 4 Disember tahun lalu.
Menerusi status yang dikemas kini pada pukul 7.49 malam itu, Syed Amen menulis dia pernah menerima ugutan akan ditembak namun menegaskan dia tidak takut dengan ugutan sedemikian.
Malah berserta status sama juga, Syed Amen turut memuat naik dua keping gambar kejadian tembakan yang berlaku kepada individu lain sebelum ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi ini, Syed Amen yang mengusahakan Restoran Nasi Kandar Original Beyond di Jalan Perak di sini, maut akibat ditembak sebanyak enam das dari jarak dekat.
Ketika kejadian di Jalan Datuk Keramat itu, mangsa memberhentikan kereta jenis Mercedes yang dipandunya di hadapan sebuah kedai selepas menyedari dia diekori dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.
Sebaik sahaja berhenti, mangsa kemudiannya ditembak sebanyak enam das dengan lima daripadanya mengenai kepala, badan dan tangan manakala satu das tembakan lagi tersasar.
Pada 13 November 2014, media melaporkan salah sebuah kereta mangsa dibakar di pusat cuci keretanya berdekatan Jalan Sultan Ahmad Syah di sini, selepas tengah malam.
Malah, sepucuk pistol juga pernah dilaporkan ditinggalkan di dalam kenderaannya pada 2012.
Syed Amen juga dikatakan pernah mendakwa dua kali menerima ancaman di pusat cuci keretanya daripada pengedar dadah yang dikatakan mahu menggunakan premis cuci kereta itu sebagai pusat transit.