Pasaraya Terkenal Didapati Jual Barangan Tamat Tempoh

Lazada Malaysia
KLANG: Sebuah pasar raya terkenal di daerah ini didapati menjual barangan yang telah tamat tarikh luput dan melanggar Akta Makanan 1983 semasa operasi khas Majlis Perbandaran Klang (MPK) sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, selain menjual barangan yang telah tamat tarikh luput, pasar raya itu juga didapati melakukan kesalahan berkenaan label makanan, tin makanan didapati kemek dan beberapa kesalahan lain.
"Dalam serbuan itu beberapa produk makanan turut disita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Norfiza, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan MPK dan diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Kanan), Mazlan Gany itu bertujuan melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan serta penipuan dalam penyediaan dan penjualan makanan.
Selain itu, katanya operasi itu bertujuan memastikan makanan yang dijual dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu sentiasa berkualiti, bersih dan bermutu.
Beliau pada masa sama mengingatkan pengguna supaya sentiasa berwaspada terutama menjelang musim perayaan dalam aspek membabitkan mutu makanan dan label bungkusan makanan.
"Orang ramai juga perlu memastikan barangan yang dibeli di dalam tin tidak berkarat, menggelembung atau kemek serta mempunyai tarikh luput bagi mengelakkan masalah berkaitan kesihatan kelak," katanya.
Norfiza berkata mana-mana premis yang menjual makanan sudah tamat tarikh luput, rosak, tercemar, tidak berlabel dan tidak mempunyai maklumat lengkap akan berdepan tindakan tegas termasuk sitaan.
Katanya, operasi khas itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Post a Comment

Previous Post Next Post