Sabrina Ali Dedah Alami Kemurungan Teruk, Rumah Tangga Dibina Hancur!


Tiada siapa pun yang inginkan sesebuah perkahwinan yang dibina itu hancur berantakan namun jika sudah ketentuanNya sebegitu, kita sebagai hambanya harus redha! Siapa sangka perkahwinan kedua yang dibina akhirnya menemui kegagalan apabila pelakon Sabrina Ali, 35, sah bercerai dengan Syed Amirul Syed Ahmad sekitar Ogos 2014.

Menurut Sabrina Ali, dia akui mengalami kemurungan teruk selepas penceraiannya keduanya itu. Selain itu, sejak bernikah wajahnya jarang menghiasi di kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar sebaliknya Sabrina Ali lebih banyak menumpukan perhatiannya kepada kerjaya lain iaitu bidang peragaan kerana tidak digalakkan oleh bekas suami.

“Selepas berkahwin, saya terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan kerana bekas suami tidak begitu menggalakkan. Disebabkan lama menjauhi industri, saya berubah menjadi anti-sosial.

Segala laman sosial Sabrina Ali juga dipadam kerana tidak mahu berkongsi hal peribadi dengan peminat dan setiap acara hiburan yang diadakan juga jarang dihadiri menyebabkan orang ramai menyangka bahawa beliau sudah bersara.

“Saya juga padamkan semua akaun sosial kerana tidak mahu berkongsi kehidupan peribadi dengan peminat. Disebabkan sudah lama tidak menghadiri acara hiburan, ramai menyangka saya sudah bersara.

“Apabila berpisah, saya bina semula kerjaya dengan menyertai dunia peragaan. Alhamdulillah, pendapatan daripada bidang peragaan banyak membantu saya untuk meneruskan hidup.

“Syukur kerana kebelakangan ini, penerbit sudah mula menyedari kemunculan semula saya dan peluang berlakon kini kembali,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu, bagaimanapun tidak pernah menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku. Selepas hampir dua tahun, Sabrina juga sudah melupai kekecewaan yang pernah dilaluinya itu dan bersedia untuk kembali berumahtangga seandainya ditakdirkan bertemu jodoh semula.

“Selepas dua kali berdepan dengan kegagalan rumah tangga, saya semakin berhati-hati terutama dalam soal pemilihan jodoh. Jika diikutkan, saya mempunyai ramai kawan lelaki. Tetapi untuk kembali berumahtangga, saya serahkan kepada Allah.

“Saya percaya Tuhan mempunyai perancangan terbaik untuk setiap hamba-Nya. Sementara itu, saya fokuskan dulu perhatian dengan mencari wang untuk membesarkan anak-anak,” katanya.


Sabrina berkata, kemunculannya dalam filem terbaharu arahan Syamsul Yusof, Munafik memberinya semangat baharu untuk kembali meraih perhatian peminat. - SUMBER

Post a Comment

Previous Post Next Post