China – Sekumpulan isteri warga Vietnam yang berkahwin dengan lelaki China hilang secara serentak dipercayai melarikan diri bagi menipu suami yang membeli mereka.
Lebih 10 wanita warga Vietnam yang telah berkahwin dengan lelaki tempatan dari sebuah kampung di wilayah Fujian telah hilang pada hari yang sama, lapor People Daily Online.
Menurut media China, kebanyakan wanita itu meninggalkan kampung Nan’an pada 16 Februari manakala dua wanita yang masih tinggal turut melarikan diri dua hari kemudian menjadikan jumlah keseluruhan yang melarikan diri ialah 17 orang.
Sesetengah wanita berkahwin selama enam bulan manakala ada juga di antaranya hanya berada di kampung selama beberapa hari.
Malah dua daripadanya sedang mengandung.
Wanita berkenaan diperkenalkan kepada penduduk kampung melalui agen pencari jodoh dan pihak lelaki turut dikenakan bayaran sehingga 60,000 yuan (RM37,358).
Malangnya, kesemua perkahwinan tersebut tidak didaftarkan secara rasmi.
Aaron, 28, lelaki pertama di bandar itu yang mengahwini wanita dari Vietnam berkata, enam bulan pertama perkahwinan mereka amat bahagia dan isterinya itu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di China malah turut bekerja di sebuah kilang di situ.
Bagaimanapun, pada hari dia melarikan diri, wanita itu berkata, dia ingin keluar untuk membeli minuman kerana dahaga, namun dia tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.
“Sejak generasi nenek moyang mereka lagi, lelaki di kampung tersebut lebih sedikit berbanding wanita dan setiap tahun nisbah di antara 12 lelaki adalah kepada dua atau tiga wanita,” katanya dipetik MailOnline.
Sementara itu, lelaki yang dikenali sebagai Peng yang turut berkahwin dengan salah seorang wanita dari kumpulan itu berkata, dia terkejut dengan tindakan isterinya itu.
Peng berkata, isterinya itu sedang mengandung malah wanita itu turut mengaku menyayanginya.
Marah dengan tindakan isterinya itu, Peng telah membuang semua barangan milik wanita itu.
Penduduk kampung kini beranggapan mereka ditipu pencari jodoh yang hanya ingin mengaut keuntungan dan sudah membuat laporan polis.
Kes ini bukanlah kes terpencil.
Menurut The Epoch Times, pada 18 Februari lalu, lelaki dari Zhangxin dari wilayah Fujian turut terkejut selepas isteri warga Vietnam yang dikahwininya turt hilang.
Lelaki di China berdepan kesukaran untuk mencari isteri kerana perbezaan nisbah bilangan lelaki berbanding wanita terutamanya di kawasan luar bandar.
Ramai lelaki bujang terpaksa memilih untuk berkahwin dengan wanita Vietnam atau Laos ditambah pula kos berkahwin dengan wanita dari negara itu jauh lebih murah berbanding dengan wanita dari China.
Tags:
OMG