HEROIN drama bersiri ‘Married Tapi Benci’, Azira Shafinaz menafikan dakwaan dia telah berkahwin. Azira yang juga ahli kumpulan De Fam nyata terkejut dengan gosip yang tersebar itu.
Azira (kiri) bersama anggota De Fam, Manggis dan Sophia.
Pemilik nama sebenar Azira Shafinaz Ramlan, 26, memberitahu sebuah portal hiburan bahawa gosip tersebut telah lama timbul kerana sering memuat naik foto anak buahnya yang berusia setahun di laman Instagram.
Tindakan itu telah menimbulkan salah faham dalam kalangan peminatnya dan pengamal media tempatan.
“Selain itu mungkin juga kerana wajah kakak seiras dengan wajah saya. Dek kerana itu orang ingat saya sudah kahwin dan mempunyai anak. Saya harap penjelasan itu dapat menamatkan teka-teki tentang perkahwinan saya.
“Saya masih bujang dan mempunyai seseorang yang cukup istimewa. Cuma belum masanya untuk melangkah ke alam perkahwinan memandangkan masing-masing sibuk dengan karier,” ujar Azira.
Azira yang enggan mendedahkan identiti lelaki yang bertakhta di hatinya itu mengakui, dia telah mengenali lelaki itu kira-kira tiga tahun lalu malah baik dengan ahli keluarga lelaki berkenaan.
“Keluarga saya dan keluarganya saling mengenali dan punyai hubungan yang baik. Pihak keluarga tidak ada masalah dengan hubungan kami. Cuma buat masa ini kami masih belum memikirkan tentang perkahwinan. Aktiviti lakonan dan nyanyian saya pun baru bermula. Jadi, biarlah saya fokus kepada satu-satu perkara dahulu,” ujar Azira lagi.
Lakonan Azira dalam drama ‘Married Tapi Benci’ sebagai teraju utama mendapat penerimaan positif penonton dan dia bersyukur memandangkan dirinya pendatang baru dalam bidang lakonan.
“Walaupun ini bukan drama pertama lakonan saya, tetapi ini kali pertama saya jadi teraju utama. Tak sangka pula ramai yang suka. Alhamdulillah, terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh TV3 dan abang Idham,” ujar Azira yang pernah membintangi drama bersiri Stella di TV9. – MYNEWSHUB.CC