Bukan parti yang salah, Muhyiddin Yassin pilih kekal dalam UMNO

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung jawatannya sebagai timbalan presiden Umno memilih untuk kekal dalam parti.

Katanya, adalah tidak wajar untuk beliau meninggalkan Umno itu kerana menganggap parti itu ‘tidak bersalah’.

“Saya akan terus kekal dalam Umno. Saya sedar ramai yang kata Umno sudah rosak, dipimpin oleh ketua yang korup dan telah melakukan sesuatu yang tak baik.

Bukan parti yang salah, Muhyiddin Yassin pilih kekal dalam UMNO

Bukan parti yang salah, Muhyiddin Yassin pilih kekal dalam UMNO

“Umno tak bersalah, yang bersalah ialah orang-orang Umno yang melakukan kesalahan dan kemungkaran,” katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Hadir sama isterinya  Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau telah meminta pandangan rakan-rakan dalam parti, sahabat, ahli Umno peringkat bahagian serta ahli keluarga berhubung kedudukannya dan mereka berpendapat beliau wajar kekal dalam parti.

“Kalau saya keluar Umno orang kata saya tak ada kedudukan dalam parti, tak boleh kritik kerana tak ada hak, sekarang saya masih ada hak, sebagai rakyat biasa kalau saya nak kritik PM pun saya ada hak.

“Saya rasa lebih wajar saya kekal untuk memerangi kesalahan dan memperbaikinya kalau boleh, dari dalam,” katanya.

Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah menjadi ahli Umno sejak  1970-an tanpa dipengaruhi sesiapa dan parti itu sudah menjadi darah dagingnya.

Katanya, beliau kini percaya menerima sokongan ramai tanpa melihat kedudukannya sebagai seorang ahli Umno.

“Saya percaya selepas berdepan masalah dan dipecat sebagai timbalan perdana menteri, atas dasar prinsip saya nak membela rakyat dan nak menegakkan kebenaran itulah, maka ramai yang menyokong saya.

“Melayu, Cina, India, Islam, bukan Islam, tua, muda mereka datang ‘berselfie’ dengan saya, hantar teks beri sokongan padu, mereka tak pernah tanya sama ada saya Umno atau bukan Umno, mereka tahu saya umno.

“Saya percaya mereka sokong saya atas dasar perjuangan saya menyuarakan yang hak dan kebenaran, tentang kemungkaran dan kebatilan,” katanya.

Beliau juga meminta agar anak-anak muda tidak kecewa dengan keputusannya untuk kekal dalam Umno.

“Anak-anak muda saya harap mereka jangan rasa kecewa lepas ini kerana saya masih dalam Umno.

“Saya percaya mereka sokong saya kerana bukan saya Umno, tetapi kerana saya manusia yang sanggup berjuang atas landasan yang benar dan hak,” katanya.

Mengenai keputusan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir keluar parti, Muhyiddin berkata beliau menghormati keputusan itu.

“Itu hak Tun M, saya menghormatinya, atas sebab apa pun (keluar Umno) dia lebih tahu.

“Bagi saya, saya ada amanah. Saya dipilih dalam perhimpunan agung, apakah wajar saya tinggalkan jawatan saya setelah orang memilih dan beri kepercayaan kepada saya,” katanya.

Sumber : Mstar

Post a Comment

Previous Post Next Post