Pendedahan Lelaki Kereta Hampir Ditarik Oleh Geng Sindiket | Di zaman ini, pelbagai taktik kotor yang sanggup digunakan demi mencari sesuap nasi. Termasuk jugalah sindiket tarik kereta ini.
"Terima kasih JPJ kerana mengiringi kami sehingga ke Sungai Buloh,"
Kisah ini dipetik menerusi Facebook Asmawi Mohamad.
Alhamdulillah. Dilindungi Allah dari satu malapetaka lagi hari ini. Saya wajar berkongsi dengan rakan taulan supaya dapat diambil pengajaran.
Kereta isteri saya di parkir di depan Sun Inns di Sunway. Saya dan isteri dalam kereta berasingan, menghantar anak perempuan kami pulang ke sekolah beliau setelah mengikuti pertandingan debat di Taylors University, Lakeside Campus.
Datang satu kereta parkir di belakang, betul2 memblok kereta isteri saya. Oleh kerana saya belum bercadang untuk beredar, saya biarkan sahaja. Mungkin beliau mahu double park. Cuma saya jeling2 ke kereta. Tengok kepada badan mereka macam penarik kereta, saya rasa agak cuak. Cuma oleh kerana kereta saya tidak dibawah pinjaman mana2 bank, saya buat selamba sahajalah.
Tiba2 lelaki itu datang menghampiri saya dan bertanyakan adakah saya pemilik kereta itu. Saya pun angguk. Dia membelek telefon dan bertanya adakah kereta itu didaftarkan atas nama Norhaliza Mohd Nor, iaitu isteri saya. Saya rasa hairan macam mana beliau boleh tahu nama pemilik kereta itu?Kemudian beliau kata, beliau adalah informer kastam, dan kereta itu didapati memiliki plat number palsu.
"HAAAAHHH!? GILA KE APA?!"
Saya tahu integriti kereta itu. Sudah melalui pemeriksaan puspakom, dan sudah pernah kena roadblock JPJ di Terengganu, dan sudah dikeluarkan dokumen putih laporan dari JPJ bahawa semuanya mantop tentang kereta itu, hatta kesalahan saman pun tidak ada.
KERETA SAYA TIDAK DIBENARKAN BEREDAR
Saya menelefon kenalan2 dalam JPJ, dalam PDRM dan dalam Kastam. Kastam kata, mereka memang ada inteligen, tetapi pihak inteligen kastam tidak berurusan dengan awam, mereka hanya laporkan kepada kastam dan kastamlah yang akan ambil tindakan. Tambahan pula, kalau ini kes nombor plet palsu seperti didakwa, maka ia di bawah kuasa JPJ, bukan kastam.
Melalui kenalan dalam JPJ, saya minta mereka menghantar kereta peronda seberapa segera. Melalui kawan dalam polis, saya minta mereka tolong maklumkan kepada kawan-kawan mereka. Tentulah di usia penghujung seperti ini, kenalan saya semasa di sekolah atau universiti samada di dalam polis, kastam dan JPJ adalah yang sudah puluhan tahun berkhidmat, dan memegang jawatan yang bukan junior.
TUNGGU POLIS & JPJ DATANG
Lelaki ini berulang kali kata, tunggu polis datang. Mereka sudah laporkan kepada polis. Saya kata saya tunggulah.
Kemudian polis datang, dan kereta yang blok saya itu pun dialih. Semasa polis sedang mengambil gambar kenderaan dan sebagainya, tiba pula peronda JPJ. Sebaik sahaja peronda JPJ tiba, dua dari tiga lelaki ini hilang menaiki sebuah MyVi.
Kemudian polis dan JPJ melakukan pemeriksaan ke atas kereta saya, dan dalam masa 10 minit, saya sudah boleh beredar. Peronda JPJ menawarkan diri menghantar kami hingga sampai ke rumah, kerana bimbangkan keselamatan kami.
SINDIKET BARU TARIK KERETA
Dari kejauhan saya ada nampak satu tow truck biru di kawasan stesen minyak di situ. Saya difahamkan ini adalah taktik yang digunapakai untuk memisahkan anda dari kereta anda secara halus. Kereta itu akan diambil/sita, dan akan dihantar ke negara asing. Mengikut JPJ pula, memang jenis kereta yang dipakai itu amat digemari oleh sindiket pengklonan pendaftaran kereta.
Saya difahamkan, alasan nombor plate palsu adalah paling ganteng, untuk membolehkan kereta anda disita dan kemudiannya dibawa ke Siam dsbnya.
Berakhirlah satu episod mengerikan dari jam 10.40 hingga 12.00. Saya ada semua gambar watak2 tadi, tetapi biarlah saya simpan. Laporan polis sudah pun dibuat di Sg Buluh.
Semoga ini menjadi pengajaran. Polis pun menasihati isteri saya tadi, kalau memandu berkeseorangan, dan berlaku perkara yang sama, minta pengenalan diri pihak berkenaan. Dan jangan keluar dari kereta. Terus hubungi polis. Saya pun ada minta pengenalan diri informer kastam itu, tapi takkanlah semudah itu beliau mahu menyerahkannya.
Kalau dulu, sewaktu membaca insiden ini, saya menganggap ia hanya kisah yang berlaku kepada orang lain. Bila hari ini ia berlaku kepada diri kami suami isteri, barulah saya sedar bahawa ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Dan tidak ada sesiapa pun yang berkecuali.
Semoga Allah selamatkan kita semua dari manusia yang jahat.
Tags:
mazeer