GARA-GARA SEKEPING GAMBAR, FB SOUTHERN TIGERS DITEGUR PEMINAT


PETALING JAYA: Facebook Johor Southern Tigers yang sebelum ini dipuji kerana menjadi penghubung di antara peminat dengan pasukan boleh sepak JDT, mendapat teguran pengikutnya gara-gara sekeping gambar yang dimuat naik di laman itu. 

Gambar yang menunjukkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim semasa berada di Valencia bersama isteri, Che Puan Khaleeda dikatakan tidak sesuai untuk ditatap oleh masyarakat umum. 

Keprihatinan netizen terhadap perkara-perkara yang mampu memburukkan nama baik kerabat diraja Johor itu terserlah apabila ramai di antara mereka menggesa agar gambar berkenaan dipadam. 

“Johor Southern Tigers tolong remove pic ni ye.. x (tidak) sesuai diupload..terima kasih,” ujar pengguna Facebook Farhana Zainal Prudential.

Manakala, Mamajie Zie menasihati agar gambar-gambar yang berkaitan dengan kerabat diraja Johor ditapis terlebih dahulu sebelum dimuat naik. 

“Ya, admin sama-samalah kita menjaga nama negeri Johor.. sebelum post sesuatu gambar.. sila tapis dahulu gambar-gambar yang berkaitan dengan kerabat negeri Johor..,” tulisnya. 

Bagaimanapun, setelah dinasihat oleh netizen melalui komen-komen di Facebook, penggendali laman berkenaan akhirnya memadam salah satu gambar yang dikatakan `menjolok mata’ itu. 



Sebelum ini, laman berkenaan dipuji ekoran memaparkan perkembangan pembangunan sukan bola sepak selain menjadi wadah utama untuk peminat mengetahui perkembangan terkini pasukan bola sepak yang mencipta sejarah sebagai pasukan Malaysia pertama yang menjuarai Piala AFC.

Post a Comment

Previous Post Next Post