Umum sudah pun mengetahui berita kehamilan isteri kepada vokalis kumpulan Bunkface, Shamsul Annuar atau dikenali dengan Sam Bunkface. Isterinya Aida Azira Husin kini hamil tiga bulan setengah.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Darah Muda’ berkata, walaupun isteri hamil dan mengalami keadaan hormon yang biasa terjadi terhadap diri wanita, dia pula tidak terkesan.
“Orang mengandung memanglah kebiasaannya mereka akan mual dan muntah sebab perubahan hormon. Buat masa ini isteri saya hanya muntah sikit sahaja. Kita faham orang perempuan bila mengandung memang akan ada tanda-tanda ini. Lain pula isteri saya ini dia tidak ada ‘morning sickness’ tapi dia ada ‘night sickness’.
“Saya sendiri masih belum pernah rasa mual lagi, mungkin belum masanya. Tapi saya kurang percaya sangat,” katanya ketika ditemui semalam.
Baca: Sam Bunkface Gembira Isteri Hamil Tiga Bulan
Menyedari dirinya bakal bergelar bapa pada bulan September nanti. Sam menjelaskan, dia menggunakan khidmat makciknya sebagai tempat rujukan mengenai nasihat untuk isterinya yang sedang hamil.
“Persediaan buat masa ini kami ada merujuk dengan makcik saya kerana dia bekas doktor pakar dalam bidang ini.
“Mengenai nama anak pula kami ada juga senaraikan. Sama ada anak lelaki atau perempuan kami tidak kisah yang penting selamat melahirkan anak.
“Kami juga tidak merancang di mana baby nanti akan dilahirkan, di mana kami berada pada ketika itu, maka, di hospital berhampiranlah tempat bakal baby lahir nanti. Selain itu juga saya akan memperlahankan kerjaya saya agar selalu di samping isteri,” ujarnya sambil tersenyum.
Tambah vokalis ini lagi, dia sudah tidak sabar untuk menerima permata hati sulung kerana mahu bawa anak bersamanya sewaktu konsert sepuluh tahun Bunkface pada tahun ini.
Menyentuh mengenai kerjaya pula, Sam akan menghasilkan single terbaru berbahasa Inggeris selepas hari raya nanti.