Penyanyi popular Jaclyn Victor yang kini bergelar ibu kepada seorang cahaya mata berusia enam bulan itu, ada menyatakan dia mahu anaknya bila sudah dewasa nanti mestilah mementingkan pelajaran.
"Bagi saya pendidikan itu sangat penting. Jika sesuatu bidang yang diceburi itu tidak menjadi, setidaknya dia mempunyai pilihan dan peluang lain dengan adanya pendidikan yang dia belajar," jelasnya.
Jaclyn menjelaskan perkara tersebut ketika ditemui baru-baru ini. Selain itu dia juga tidak menghalang jika anaknya nanti mahu mewarisi bakat nyanyian seperti dirinya.
Baca: MAJLIS RESEPSI JACLYN VICTOR & SHAWN RIVERA BERLANGSUNG MERIAH
"Kita akan bimbing dia. Saya sebagai ibu tidak ada masalah sekiranya masa depannya akan menjadi seorang penyanyi seperti saya. Tapi macam saya katakan tadi, dia mesti terlebih dulu ada pendidikan," terangnya.
Menurut Jaclyn, jika dia sedang sibuk menjalani rakaman lagu ataupun memenuhi jemputan menyanyi. Anaknya akan dijaga oleh ibu dan keluarganya sendiri. Ini kerana dia lebih selesa tanpa pembantu rumah.
"Kami memang sejak dulu lagi dalam keluarga tidak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah. Malah, sehingga saya sudah ada anak pun biarlah kami sendiri yang menjaganya. Bila saya sibuk dengan show nyanyian, kebiasaannya ibu saya yang akan menjaganya sebab rumah ibu pun dekat," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Jaclyn mahu mengeluarkan lagi sebuah single terbaru dalam masa terdekat ini. Bagaimanapun, perkara itu masih lagi dalam proses dan akan diumumkan bila sudah siap.
Tags:
MEDIAHIBURAN