Aktres Ramona Zamzam atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam memberitahu Media Hiburan Online bahawa pada bulan Mei depan, dia dan suami, Rami Alaskhar akan menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka di The Banjaran Hotspring Retreat, Perak.
Mengikut Ramona, dia tidak mempunyai sebarang kejutan istimewa pada hari ulang tahun nanti. Namun buat masa ini hanya mampu memikirkan hadiah seperti minyak wangi.
“Kejutan istimewa belum sempat untuk difikirkan lagi sebab terlalu teruja. Tapi yang pastinya saya akan belikan dia minyak wangi,” jelas Ramona ketika dihubungi.
Diaju persoalan mengenai cahaya mata, Ramona menjelaskan apabila sudah puas meluangkan masa bersama suami barulah akan memikirkan tentang perkara tersebut.
“Tidak semua orang berkahwin semata-mata anak namun tipu jika saya dan suami tidak mahu menimang cahaya mata. Bukan menolak rezeki, tapi saya mahu berehat dan melancong bersama suami sepuas-puasnya dulu. Selain itu kumpul duit untuk masa depan.
Baca: RAMONA ZAMZAM KINI BERGELAR ISTERI JEJAKA PALESTIN
“Tujuan perkahwinan kami sebenarnya adalah untuk menghalalkan hubungan kerana kami kerap kali berjumpa.
"Jadi, adalah lebih baik teruskan sahaja dengan perkahwinan, lagipun kami masing-masing tidak ada masalah tentang itu dan sudah bersedia. Alhamdulillah segalanya Allah permudahkan malah terus terang saya katakan hubungan lebih intim selepas kahwin,” tuturnya.
Menyentuh tentang perkembangan kerjaya, Ramona kini baru saja selesai menjalani penggambaran telemovie ‘Roti Canai Kuah Rendang’ untuk RTM yang akan disiarkan pada hari raya nanti. Selain telemovie untuk RTM, Ramona juga terlibat dengan penggambaran telemovie ‘Telah Aku Ikhlaskan’ arahan Raja Mukhriz yang akan disiarkan pada April depan.