SLAM KEMBALI DENGAN KONSERT DI KUALA LUMPUR, SELEPAS 20 TAHUN


Kali terakhir kumpulan Slam mengadakan konsert di Kuala Lumpur adalah 20 tahun lalu, selepas dua dekad mereka bakal kembali bersatu dalam konsert Kurnia Slam, 14 Mei depan.

Konsert tersebut dibawakan khas oleh Urban Creative Synergy yang bakal berlangsung selama dua jam setengah bertempat di StarXpo Centre, Kenanga Whole City (KWC).

Vokalis kumpulan Slam, Zamani berkata konsert Kurnia merupakan hadiah buat para peminat yang merindui kehadiran mereka di pentas nyanyian.

“Konsert ini hadiah buat peminat Slam yang telah menyokong kami selama ini. Konsert ini juga istimewa buat Slam kerana ia seperti reunion Slam dan peminat kami,” katanya.

Selain itu, menurut Zamani, konsert tersebut juga sebagai pemberitahuan kepada para peminat Slam bahawa kumpulan mereka tidak pernah berkubur.

“Sebelum ini ramai yang ingat Slam dah tak ada. Sebenarnya kami masih bergerak aktif cuma jarang bersama kerana masing-masing mempunyai kerjaya sendiri.

“Sebelum ini pun ada pihak yang ingin menganjurkan konsert kami, tetapi mereka was-was kerana menyangkakan kumpulan ini mempunyai masalah dalaman. Malah, ada juga yang ingat kami sudah pun berkubur. Mujurlah masih ada pihak yang percaya dengan kami.

“Kali terakhir kami membuat konsert berskala besar di Kuala Lumpur ialah Konsert Grand Slam pada 1996 di Stadium Negara dan pada 2012 Konsert Kembali Merindu di Suntec, Singapura,” katanya.

Mengulas mengenai konsert yang dinamakan Kurnia, Zamani memberitahu ia nama tersebut bersempena dengan tajuk lagu dendangan kumpulan ini.

“Kami juga menyifatkannya sebagai kurniaan untuk peminat yang setia menyokong kami," kata Zamani ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert terbabit di Damansara Perdana, pada petang Khamis.

Hadir sama empat anggota Slam yang lain iaitu Shah, Ajak, Lily dan Man serta pengarah Konsert, Shamil Yusof.

Konsert Kurnia juga bakal menyaksikan lebih 20 buah lagu popular kumpulan Slam dipersembahkan menerusi tiga segmen.

Tiket akan mula dijual pada hari 30 Mac dan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu RM88 (Biasa), RM158 (Silver), RM198 (Gold) dan RM399 (VVIP).
 
Pembeli tiket VVIP berpeluang beramah-mesra dengan Slam selepas konsert berakhir. Tiket boleh dibeli dengan melayari laman web www.ticketpro.com.my ataupun dengan menghubungi talian 03-78807999.

Post a Comment

Previous Post Next Post