SEBUAH dokumentari yang menyusuri perjalanan hidup seorang bekas askar Jepun yang masih menetap di Malaysia selepas Perang Dunia Kedua tamat menjadi viral di Internet selepas dikongsikan di laman Facebook Friends Of BN hari ini.
Yano Sigaeru, atau nama Islamnya Haji Ali Bin Ahmad, telah menetap di Malaysia (ketika itu Tanah Melayu) sejak tahun 1943 selepas 8 tahun berkhidmat sebagai tentera.
Akui sukar baginya untuk memulakan kehidupan di Malaysia oleh kerana dendam rakyat tempatan khususnya kaun Melayu dan Cina yang masih belum padam terhadap kezaliman tentera Jepun, Haji Ali berkata beliau terpaksa meneruskan hidup melakukan apa-apa sahaja pekerjaan yang diusahakan kaum Melayu ketika itu seperti menjadi nelayan selama 5 tahun.
Dengan hasil titik peluhnya, Haji Ali menggunakan wang simpanannya yang sedikit itu untuk melangsungkan perkahwinan dengan gadis tempatan dan membuka kedai basikalnya sendiri.
Haji Ali memilih untuk menetap di Masjid Tanah, Melaka untuk mengusahakan perniagaan serta menguruskan keluarganya.
“Saya tidak mempunyai modal yang besar ketika itu. Walaupun saya tidak pernah menyakiti sesiapa, warga-warga tempatan tidak menyenangi kehadiran saya di sini, lebih-lebih lagi kaum Cina,” cerita Haji Ali dalam dokumentari In Search of the Unreturned Soldiers in Malaysia lapor Mynewshub.
“Namun, saya dilayan dengan baik sekali oleh rakan-rakan dari kalangan guru-guru agama.”
Haji Ali kemudiannya menjelaskan kepada penemubual dokumentari tersebut iaitu Shohei Imura tentang Al-Quran.
“Umat Islam mempunyai sebuah kitab bernama Al-Quran. Kitab ini bukan ditulis oleh manusia, tetapi Allat swt.
“Allah swt berfirman jika umat manusia hidup berdasarkan akidah yang diajar di dalam Al-Quran, maka kehidupan yang dijalaninya akan sentiasa tenang dan bahagia.
“Orang Jepun memandang kaum Melayu sebagai bangsa yang lemah; kami kuat bekerja dan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat yang diingini. Namun, secara spiritualnya, kami lemah,” kata Haji Ali.
Haji Ali kemudiannya turut menceritakan bagaimana beliau terbuka hati untuk memeluk Islam.
“Rakan saya yang juga seorang nelayan selalu memberikan nasihat-nasihat yang berguna kepada saya. Kata-kata semangatnya menjadi ‘panduan’ kepada saya sehingga akhirnya, hati saya terbuka dengan luas untuk menerima Islam.”
Apabila ditanya sama ada beliau mahu pulang ke tanah airnya, Haji Ali berkata jika diberi pilihan dan dia mempunyai wang, dia tidak mahu pulang Jepun.
“Saya mahu gunakan wang itu untuk pergi ke Arab Saudi. Saya mahu ke Makkah,” ujar lelaki itu.
Terang Haji Ali lagi, nalurinya kuat untuk memilih Islam selepas salah seorang guru agamanya telah menghadiahkan beliau sebuah buku yang menceritakan tentang hari kiamat.
“Dalam buku itu, diceritakan bagaimana satu hari nanti semua isi kandungan alam semesta ini akan musnah dan tiada siapa pun yang akan terselamat, kecuali orang-orang yang tidak beriman kepada Allah swt.
“Jumlah lelaki juga akan berkurangan kerana ramai yang telah mati sesudah berlakunya peperangan demi peperangan yang mengorbankan kaum lelaki.
“Saya jadi terlalu takut dengan keadaan itu. Oleh itulah saya tidak membenarkan anak-anak saya untuk belajar tinggi-tinggi dan berhijrah ke bandar.
“Cukup sekadar sehingga Darjah 6, dan selebihnya saya akan hantar mereka ke sekolah agama untuk belajar tentang solat dan sebagainya,” jelas Haji Ali, panjang lebar.
Haji Ali hidup secara sedarhana sehingga penghujung hayatnya. Video yang menampilkan Allahyarham itu kini telah menjadi tatapan ratusan ribu penonton dan telah dikongsi sebanyak 2949 kali di Facebook setakat ini. Al-Fatihah buat Allahyarham Haji Ali bin Ahmad @Yana Sigaeru.
Tags:
mazeer