Amy Search terluka, nasihat Awie macam ’pijak-pijak ibadah saya’

Teguran Awie agar Search memberikan bantuan kepada pemain dramnya Yazit Ahmad dikesali oleh Amy, vokalis kumpulan rock legenda itu.

Amy, nama glamor Suhaimi Abdul Rahman, berkata vokalis Wings tidak wajar mengaitkan hal peribadi dan ibadah apabila mengulas masalah Yazit.

Amy Search kecewa nasihat Awie, macam ’pijak ibadah saya’

Amy Search kecewa nasihat Awie, macam ’pijak ibadah saya’

Baca artikel sebelum: Nasihat Awie buat Amy Search: “Tak guna cerita pasal tahfiz dan jubah tapi soal akhirat dibuat main macam ini”

“Saya kecewalah dan pada saya ia amat melukakan hati saya. Sampai hati dia cakap saya macam itu, sampaikan ibadah saya dipijak-pijak.

“Tapi saya tidak salahkan dia (Awie) kerana dia mungkin dengar dari sebelah pihak sahaja,” katanya seperti dilaporkan portal Astro Awani hari ini.

Awie, nama popular Ahmad Azhar Othman, menasihati Amy agar memberi lebih perhatian kepada Yazit yang sakit selama enam tahun.

Tambahnya, tidak wajar Amy sebagai pengasas sekolah tahfiz tetapi mengabaikan Yazit yang kini sedang menjalani rawatan dialisis.

“Kalau saya dalam kumpulan itu, saya akan korbankan sedikit masa untuk menolong. Ini saham akhirat kita. Fikir dekat situ saja.

“Tidak guna kita cerita pasal tahfiz dan jubah tetapi soal akhirat dibuat main macam ini,” kata Awie kepada ProjekMMO kelmarin.

Ketegangan antara Yazit dan Amy muncul susulan dakwaannya Search tidak membayar wang pendahuluan konsert 35 tahun, kini dibatalkan, sehingga perkara itu dilaporkan ke balai polis.

Pemain dram itu juga mendakwa Search tidak membantu rawatannya walau beliau seorang pengasas kumpulan tersebut. Dakwaan itu dinafikan oleh Amy.

Awie berkata ahli-ahli Search juga harus bermuhasabah dan mengetepikan ego masing-masing.

Katanya, Yazit harus dibantu kerana pengasas kumpulan rock itu hanya menjadikan muzik sebagai satu-satunya sumber pencarian.

“Mereka perlu ambil iktibar dan muhasabah diri kerana sahabat saya (Yazit) sakit, jadi tolak ke tepi soal ego,” katanya.

“Kita perlu tolong kerana ini membawa kepada saham akhirat. Kalau kawan kita yang sedang sakit ini, kita nak kenakan dia lagi, ini bukan kawan,” katanya.

Amy pada minggu lalu menafikan ahli-ahli lain Search mengabaikan Yazit sepanjang enam tahun menerima rawatan.

“Saya ada gambar dengan dia di hospital. Saya tidak pernah keluarkan gambar itu kerana saya tidak mahu orang ramai tengok kawan saya dalam keadaan sakit.

“Jangan cakap kami penipu, tidak pedulikan dia. Dia bukan hidup sebatang kara nak cakap begitu. Dia ada anak-anak yang sudah besar. Ada adik-beradik.

“Cakap macam tidak ada sesiapa, macam kawan-kawan saja yang ada,” katanya kepada ProjekMMO selepas sidang media pembatalan konsert ulang tahun 35 Search.

Post a Comment

Previous Post Next Post