Pelakon dan model Daler Yusuf, 24, yang berasal dari Uzbekistan memberitahu dia begitu selesa dan seronok ketika tibanya bulan puasa di Malaysia. Ini kerana, baginya di Malaysia terdapat pelbagai jenis juadah berbuka puasa dan juga cuaca di negara ini tidaklah sepanas negara kelahirannya.
"Kalau bulan puasa saya lebih selesa di Malaysia berbanding di negara saya kerana saya dapat rasakan kemeriahan sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri, mana tidaknya masing-masing teruja nak sambut hari raya pula. Selain itu paling saya suka di Malaysia ada bazar Ramadan. Seperti di Uzbek ada orang Islam namun hanya 60% sahaja, kalau pergi bazar pun boleh nampak ada yang makan.
"Waktu berpuasa di negara saya lebih kurang 14 jam ke 15 jam. Jadi, bila sudah biasa dengan cuaca dan peredaran waktu Malaysia, bila balik semula ke kampung halaman, ia menjadi satu cabaran buat saya," ujar Daler yang menggemari masakan popular Uzbek 'samsa'.
Bagi yang belum mengenali figura Pan Asia ini, Daler bermula dengan karier peragaan sejak berusia 19 tahun dan banyak terlibat dengan iklan komersial jenama-jenama besar di negara ini. Antaranya seperti Samsung, Blackberry, Baskin Robbins, Burger King dan banyak lagi.
Manakala lakonan pertamanya menerusi drama bersiri Tuan Anas Mikael, kini sedang menjalani penggambaran drama Lip Lap Raya.
Tags:
MEDIAHIBURAN