Lapor ke balai polis, guru cemas ditembak pistol mainan budak
Seorang guru wanita mengalami detik mencemaskan apabila penumpang kereta di hadapan keretanya melepaskan tembakan ke arahnya sebanyak dua kali di Kuala Berang, di sini, tiga hari lepas.
Bimbang dengan keadaan itu, guru berumur 38 tahun dan bertugas di sebuah sekolah menengah di sini membuat laporan polis berhubung kejadian pada kira-kira 7 pagi di Jalan Paya Besar itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata guru itu mendakwa ketika kereta dipandunya berada dalam jarak kira-kira lima meter di belakang kereta itu, penumpang hadapan telah melepaskan satu das tembakan dengan senjata dipercayai pistol.
“Bunyi seperti tembakan dan berasap. Mangsa yang terkejut terus menjarakkan kenderaan namun sekali lagi penumpang hadapan melepaskan satu das tembakan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Wan Abd Aziz berkata hasil serbuan di sebuah rumah di Taman Pertang Permai, Kuala Berang kira-kira 8 malam hari yang sama, polis menahan seorang buruh dan dia mengaku memandu kereta itu untuk menghantar anak lelakinya yang berusia lapan tahun ke sekolah.
“Semasa dalam perjalanan anaknya telah bermain pistol mainan tersebut …polis juga telah merampas pistol mainan itu yang dibeli dengan harga RM8 di pasar malam Kuala Berang,” katanya.
Beliau berkata polis akan menjalankan pemeriksaan ke atas peniaga yang menjual “pistol mancis” berkenaan. — Bernama
Sumber : Malay Mail