Enggan mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ‘warkah dari penjara’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mahu kerjasama Deklarasi Rakyat diteruskan bersama beliau sebagai satu pandangan peribadi.
“Itu pandangan peribadi dia (Anwar)… itu cerita lama, tak perlu nak ungkit apa-apa,” ujarnya ringkas selepas majlis dialog anjuran Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) di Holiday Villa, hari ini.
Mahathir sebelum ini mengakui tidak mustahil masih wujud perasaan dendam antara dirinya dengan Anwar ketika mereka bersama menerajui negara.
Bagaimana pun, katanya, tuduhan Anwar mendakwa beliau menggunakan pentas Deklarasi Rakyat sebagai membalas dendam adalah tidak tepat.
“Memang la, dia (Anwar) pun dendam pada saya. Sama-sama berdendam,” katanya sebelum ini.
Sementara itu, Mahathir ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai dakwaan bahawa beliau merupakan individu yang tidak mengenang jasa Umno.
“Siapa kata saya tak kenang jasa? Saya sebenarnya keluar dari parti Najib, bukan Umno. Saya juga tak gunakan parti demi kepentingan diri seperti dia (Najib) lakukan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian