Jakarta: Presiden Indonesia Jokowi Widodo hari ini, mengumumkan pelaksanaan hukuman lebih berat kepada perogol kanak-kanak, termasuk kembiri secara kimia dan hukuman mati kepada pesalah.
Menurutnya, langkah itu berikutan peningkatan kes keganasan seks terhadap mangsa bawah umur.
“Saya mengisytiharkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak adalah jenayah luar biasa kerana ia mengancam dan membahayakan nyawa kanak-kanak.
“Jenayah luar biasa perlukan tindak balas sewajarnya dan sehubungan itu, peraturan ini menetapkan hukuman lebih berat,” katanya.
Hukuman mati di Indonesia biasanya dilaksanakan oleh skuad penembak.
Desakan hukuman lebih berat meningkat berikutan kejadian pelajar berusia 14 tahun, dikenali sebagai Yuyun, dirogol 14 lelaki dan dibunuh ketika pulang dari sekolah di Bengkulu, Sumatera, bulan lalu.
Minggu lalu, tiga lelaki termasuk seorang pelajar 15 tahun terbabit merogol gadis berusia 18 tahun, Enno, di Tangerang sebelum mangsa mati akibat dipukul dengan cangkul dan kemaluannya dirodok dengan hulu cangkul.
Ketika ini, Indonesia melaksanakan hukuman mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2002 yang menetapkan hukuman 15 tahun penjara bagi hubungan seks dengan bawah umur.
Semalam, Menteri Kebajikan Sosial Indar Parawansa berkata, selain kembiri secara kimia, pesalah juga perlu memakai gelang kaki pengawasan elektronik serta penyiaran identiti pesalah secara besar-besaran.
Harian Metro
Tags:
sembangB