Seorang lelaki maut selepas seekor unta miliknya menggigit tengkuknya hingga putus selepas haiwan itu berang ditambat seharian di kawasan panas terik.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, lelaki terbabit sibuk melayan tetamu di rumahnya di Barmer, Rajasthan sebelum tiba-tiba teringat unta itu ditambat di tengah halaman yang panas terik sepanjang hari itu.
Apabila cuba membuka ikatan pada kaki haiwan itu, unta berkenaan menjadi agresif dan menyerangnya.
Agensi berita melaporkan, seorang jiran mangsa memberitahu unta itu menggigit tengkuk dan mengangkatnya sebelum mencampakkannya ke tanah dan mengunyah badannya sehingga kepalanya terputus.
Haiwan itu juga dilaporkan pernah menyerang pemiliknya sebelum ini.
Penduduk kampung berkata, 25 orang berusaha keras selama enam jam untuk mengawalnya.
Rajasthan mengalami peningkatan suhu melampau panas di India sehingga 51 darjah celsius dengan 17,000 kampung mengalami kekurangan air dan 16 dilaporkan maut.
Pada masa sama, askar yang mengawal sempadan dengan Pakistan juga berdepan masalah unta menjadi agresif akibat cuaca panas melampau.
Unta biasanya tidak ganas dan suka bermanja dengan manusia.
Tetapi unta jantan mampu menjadi agresif terutama ketika bergaduh sesama mereka.
Sumber: Free Malaysia Today