Dua serpihan besar pesawat EgyptAir yang dilaporkan terhempas di Laut Mediterranean ditemui berhampiran dengan Pulau Greece, Khamis malam.
Menurut tentera Greece, serpihan pesawat Airbus A320 Penerbangan 804 yang membawa 66 orang termasuk 10 anak kapal ditemui oleh pasukan mencari dan penyelamat (SAR) dilihat terapung di lautan, kira-kira 370 kilometer dari selatan Pulau Crete.
Baca artikel sebelum: Pesawat EgyptAir dikesan terhempas di luar pesisir Greece
Sebelum penemuan ini, Menteri Pertahanan Greece, Panos Kammenos berkata, pesawat itu ‘tiba-tiba membelok’ ketika di tengah udara dengan kelajuan 90 darjah ke kiri, kemudian 360 darjah ke kanan sebelum terhempas.
Manakala Menteri Penerbangan Awam Mesir, Sherif Fathi turut berkata, punca nahas ini kemungkinan besar disebabkan serangan pengganas berbanding masalah teknikal.
Pesawat EgyptAir membawa 30 rakyat Mesir, 15 Perancis, dua Iraq dan masing-masing seorang dari Algeria, Britain, Belgium, Kanada, Chad, Kuwait, Portugal, Arab Saudi dan Sudan.
Juruterbang pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan dengan perhubungan terakhir dengan pesawat itu ialah 10 minit sebelum hilang dari radar.
Pesawat terbabit terbang pada ketinggian 11,280 meter, hilang kira-kira 130 kilometer sebelum ia memasuki ruang angkasa Mesir.
Sumber: MStar