MESKIPUN sejak akhir-akhir ini kelibat pelakon ini jarang muncul di layar skrin, namun ia bukan bererti dirinya tidak lagi aktif dalam bidang lakonan.
Mengakui dunia seni merupakan mata pencarian utamanya, Fizz Fairuz hanya lebih selektif dalam memilih tawaran kerja yang diberikan kepadanya.
“Memang benar, kerjaya seni saya agak perlahan sejak kebelakangan ini.
“Bagaimanapun, saya menafikan dakwaan saya sudah tidak berminat dalam bidang ini dan mahu memberikan fokus kepada perniagaan sahaja,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Karnival Moh Joget Pahang, baru-baru ini.
Kata Fizz, dia tidak pernah terfikir untuk bersara daripada dunia lakonan.
“Sejujurnya lakonan adalah jiwa saya, manakala bidang perniagaan masih baru diceburi.
“Tidak mungkin saya boleh lupakan atau meninggalkan karier seni begitu sahaja,” katanya.
Jelasnya lagi, penglibatan dalam bidang perniagaan tidaklah sesibuk seperti digambarkan.
“Setakat ini saya masih dapat seimbangkan antara dua bidang ini, kalau boleh biarlah ia bergerak seiringan,” kata pelakon filem Munafik ini.
Menurut Fizz, dia juga lebih selesa memilih karakter atau skrip yang ditawarkan kepadanya.
“Sudah sampai masa saya meletak diri sebagai pelakon lebih selektif dan tidak menerima apa sahaja tawaran diberikan.
“Ini penting supaya dapat mengukur sejauh mana kualiti lakonan saya selama ini, bukan tidak berlakon kerana tiada tawaran,” katanya sedang sibuk dengan penggambaran telemovie Karya 12 berjudul Kulit sentuhan pengarah Michael Ang.
Pada masa sama, suami kepada pelakon Almy Nadia ini akan terlibat dengan penggambaran filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Berkongsi mengenai pembabitannya menerusi Karnival Moh Joget Pahang pula, kata Fizz, ia bersempena Karnival Kesenian dan Kebudayaan Rakyat Pahang 2016 tahun ini.
“Empat tahun saya memendam hasrat mengadakan projek ini dan akhirnya ia menjadi kenyataan.
“Idea untuk menganjurkannya tercetus apabila saya rasa terpanggil melakukan sesuatu untuk negeri kelahiran saya sendiri.
“Misalnya untuk program ini sendiri saya berharap ia dapat menunjukkan kepada generasi kini mengenai seni warisan negeri Pahang,” katanya akan menjelajah ke 11 lokasi di Pahang bagi program itu.
Tambahnya, dia lega kerana projek tersebut mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Alhamdulillah, sedikit sebanyak sokongan pihak terbabit memudahkan perjalanan projek ini.
“Lagipun ia memakan kos yang tinggi, tanpa pembabitan mereka, mustahil untuk saya realisasikan impian ini.
“Pada masa sama, ia juga memerlukan komitmen tinggi daripada saya sendiri,” katanya.
Rezeki anak
Berkongsi mengenai rumah tangganya pula, suami kepada pelakon Almy Nadia ini mengakui sangat bersyukur kerana bakal menimang cahaya mata kedua.
“Alhamdulillah, kandungan Almy sudah pun memasuki usia lima bulan dan dijangka bersalin Oktober nanti.
“Buat masa sekarang kami tidak mempunyai pembantu rumah, jadi anak memang dijaga sepenuhnya oleh kami berdua dan dibantu oleh mak juga.
“Bagaimanapun, ia tidak mengganggu perjalanan kerja kami setakat ini,” katanya.
Jelasnya, kesudian Almy meluangkan masa kepada rumah tangga berbanding kerjaya amat dihargainya.
“Tidak perlu susah-susah memikirkan anak dijaga oleh orang lain dan sebagainya.
“Lagi pun dia terlibat sebagai rakan kongsi saya menerusi syarikat diuruskan kami kini, jadi dia boleh memantau atau melakukan kerja daripada rumah sahaja,” kata bapa kepada Nur Afrina Ariana yang berusia setahun tiga bulan.
Dalam pada itu, Fizz memberitahu, dia tidak kisah isterinya itu hamil dalam masa singkat.
“Jika sebelum ini dia bimbang dengan kenaikan berat badannya, tetapi bagi saya, ia tidak menjadi masalah besar.
“Saya katakan padanya, selagi dikurniakan rezeki anak, terima sahajalah, bila sudah cukup ‘kuota’, baru berhenti dan jaga badan,” katanya sambil ketawa.
Sumber: Sinar Harian