Sejak beberapa bulan lalu, peminat mula perasaan perubahan mendadak tubuh bintang remaja, Ayda Jebat yang kurus melidi.
Ramai mula risau dengan fizikal penyanyi dan pelakon itu yang diketahui ligat bekerja menghabiskan penggambaran filem Pinjamkan Hatiku, sejak beberapa bulan lalu.
Tambah buruk, Ayda mengalami keracunan makanan yang menyaksikan berat badannya menyusut tiga kilogram selama seminggu menanggung sakit.
“Saya sakit teruk, demam dan muntah gara-gara keracunan makanan.
“Minggu lalu, berat badan saya 44 kilogram (kg), sekarang sudah turun kepada 41 kg. Ramai yang perasan perubahan ini.
“Tidak mengapa, selepas ini saya akan naikkan semula berat badan… Itu janji saya kepada diri sendiri,” katanya.
Ayda berpesan kepada peminat supaya sentiasa berwaspada dengan apa yang dimakan terutama premis yang menjual juadah.
“Kadang-kala kita mungkin ambil mudah hal ini. Kalau nak beli makanan, carilah dekat tempat yang bersih ,” kata penyanyi lagu Pencuri Hati itu.
Mengenai kegiatannya sekarang, Ayda memberitahu, dia masih menghabiskan penggambaran drama Assalamualaikum Cinta arahan Michael Ang yang turut menyajikan versi telefilem sempena Aidilfitri.
Menerusi drama itu, Ayda digandingkan dengan Saharul Ridzwan. Turut berlakon ialah Emma Maembong dan Kamal Adli.
“Saya seronok berlakon dengan Saharul sebab kami sama-sama muda. Kami tahu apa nak buat. Malah, kalau ada bahagian yang dia tak boleh lakukan, dia akan cari idea dan alternatif lain.
“Dia sangat profesional. Boleh kata, luar dalam dirinya sangat baik,” katanya mengenai Saharul.
Sumber: BH Online