BARANG JUALAN DIRAMPAS SECARA KEJAM OLEH PENGUASA, PEMILIK WARUNG TERIMA SUMBANGAN ORANG RAMAI RM81,000 (VIDEO)


JAKARTA, 13 Jun — Derma datang mencurah-curah selepas makanan peniaga warung dirampas oleh pihak berkuasa wilayah Banten atas alasan menjual di siang hari bulan puasa.

Setakat tengah hari semalam, hampir 2,500 orang menyumbang Rp265 juta (RM81,000) bagi membantu Saeni, 53, dan peniaga-peniaga lain di bandar Serang yang diserbu kakitangan pihak berkuasa wilayah itu, kira-kira 90km dari sini.
Liputan meluas pada insiden wanita itu, mulanya melalui video di media sosial, menarik simpati orang ramai yang menganggap tindakan Satuan Polis Pamong Praja (Satpol PP) berlebihan dan menindas, lapor portal CNN Indonesia.

Serbuan pada Rabu lalu dibuat di bandar utama Banten berdasarkan larangan beroperasi di siang hari seperti dinyatakan dalam peraturan pentadbir Serang dan juga Majlis Ulama Indonesia di situ.

Menteri Dalam Negeri Tjahjo Kumolo dilaporkan mengarah pengarah Satpol PP kementeriannya untuk menegur kakitangan pihak berkuasa daerah itu agar bertindak dengan lebih simpati.

“Jangan bersikap berlebihan kerana ada kuasa, apa pun masyarakat di daerah harus didisiplinkan, tetapi harus dengan cara manusiawi,” katanya, seperti dilapor portal itu yang memetik Detikcom.

Beliau juga menggesa Satpol PP — seperti penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia — mengingatkan warung yang berniaga di siang hari sepanjang Ramadan agar tidak terlalu terbuka.

Di banyak daerah di republik ini, warung-warung dibenarkan menyediakan makanan di siang hari tetapi ditutup dengan kain agar tidak terlalu ketara pada pandangan umum.



Gabenor Banten juga kesal pada tindakan Satpol PP yang didakwa menggunakan cara yang “menindas” ketika merampas lauk-pauk di warung makan.

“Saya menyeru pada semua pihak untuk mengutamakan cara-cara yang manusiawi dalam menegakkan peraturan,” kata Rano Karno, bekas seorang pelakon terkenal, dalam satu kenyataan.

Kritikan juga muncul daripada timbalan ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), atau Parlimen Indonesia, yang menyifatkan rampasan barang jualan sebagai tindakan “zalim”.

“Satpol PP main angkut bakul nasi dibawa lari, menurut saya, terlalu zalim. Kalau mahu ditutup, ya ditutup sahaja, tidak perlu ada rampasan seperti itu,” kata Hidayat Nur Wahid, tokoh utama Parti Keadilan Sejahtera.

lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post