Daging rasa lebih enak dan manis jika kambing makan herba dan mandi setiap hari

Bagi menghasilkan daging kambing berkualiti gred dunia, Nasuha Kasian mengaplikasikan teknik ternakan di Kobe, Jepun yang menghasilkan daging lembu yang dikategorikan sebagai paling enak dan termahal di dunia.

Kambing makan herba mandi setiap hari, daging rasa lebih enak manis

Kambing makan herba mandi setiap hari, daging rasa lebih enak manis

Lelaki berusia 65 tahun itu yang juga pengusaha ladang herba dan rempah tempatan, berkata hasil menggunakan teknik itu, daging kambing yang diternaknya lembut dan lebih manis.

Mengambil contoh penternakan lembu Wagyu di Jepun yang memberi perhatian khusus dalam aspek kebersihan dan diet makanan, Nasuha mengambil pendekatan sama dalam menternak kambing baka Barbados Black Belly di ladangnya di Km19, Jalan Pagoh-Muar dekat sini.

Katanya, kambing diternaknya hanya diberi makanan organik iaitu herba dan rempah ratus yang terdapat di ladangnya yang seluas 1,295 hektar serta mempunyai lebih 6,000 jenis herba tempatan dan luar negara.

“Dari aspek kebersihan dan kesihatan, kambing akan dimandikan sekali sehari dan kambing yang sakit akan dirawat menggunakan ubat-ubatan berasaskan herba,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nasuha berkata kambing di ladangnya tidak diberikan ubat cacing seperti yang lazim diguna oleh penternak lain, sebaliknya kambing dirawat dengan menggunakan sejenis rumput yang mampu mengatasi masalah cacing.

Kambing baka Barbados Black Belly diberi makanan tumbuhan herba dan rempah ratus di ladang seluas 1,295 hektar di Muar. ― Foto Bernama

Kambing baka Barbados Black Belly diberi makanan tumbuhan herba dan rempah ratus di ladang seluas 1,295 hektar di Muar. ― Foto Bernama

Beliau mendapati kambing diternak menggunakan teknik itu juga sukar mendapat penyakit malah dagingnya lebih manis dan enak kerana sistem dalaman kambing tersebut terpelihara.

“Selain menjaga diet pemakanan dan kebersihan, kami turut menyediakan air minuman khusus kepada kambing iaitu air yang dicampur dengan herba dan bebas daripada bahan kimia,” katanya dan menurutnya kini terdapat kira-kira 2,000 ekor kambing di ladangnya.

Katanya, buat masa ini, beliau tidak menjual daging segar sebaliknya hanya untuk menu daging kambing di restorannya yang terletak berdekatan ladangnya itu.

“Mereka yang berminat untuk menikmati keenakan dan khasiat daging kambing Barbados Black Belly yang dimasak menggunakan rempah ratus dan herba segar, boleh datang ke restoran,” katanya.

Bagaimanapun, Nasuha berkata pihaknya menjual baka kambing kepada yang berminat.

Untuk perancangan jangka panjang, katanya, beliau berminat membuat penyelidikan mendalam mengenai cara ternakan Kobe, namun memerlukan sejumlah dana yang besar.

“Saya harap ada pihak yang berminat membantu menyumbangkan dana bagi penyelidikan ini memandangkan ia boleh mendatangkan manfaat yang besar kepada banyak pihak khususnya penternak tempatan,” katanya. ― Bernama

 

Sumber: Projek MMO

Post a Comment

Previous Post Next Post