Jam tangan Touch ‘n Go dilancarkan

Penyedia Sistem Pembayaran Elektronik (ETC) Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) hari ini melancarkan jam beserta kad bayaran pertama di Malaysia yang dilengkapi ciri bayaran dan tambah nilai.

Jam tangan Touch 'n Go

Jam tangan Touch ‘n Go – Sumber gambar dari siakapkeli

Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin, berkata menerusi jam berkenaan pengguna tidak lagi perlu membawa kad atau wang bagi membuat pembayaran di beberapa premis yang dilantik TNGSB.

Katanya, jam yang dikenali sebagai ‘Time Traveller‘ itu juga memenuhi keperluan gaya generasi masa kini yang mengutamakan kemudahan tanpa mengira lokasi.

“Kita mahu mempromosikan gaya hidup tanpa tunai. Jika dilihat, di Malaysia kini ramai peniaga kecil yang bekerjasama dengan TNGSB untuk meletakkan mesin pengimbas bayaran di premis mereka.

“Bagi tambah nilai pula, ia sama seperti menggunakan kad Touch ‘n Go iaitu pengguna hanya perlu menyentuh jam berkenaan pada mesin tambah nilai.

“Kadar tambah nilai juga sama iaitu minimum RM10 manakala nilai maksimum dalam jam berkenaan ialah RM1,500,” katanya pada sidang media selepas memperkenalkan jam ‘Time Traveller’, di sini hari ini.

Syahrunizam berkata, buat masa sekarang jam berkenaan hanya didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan putih, sesuai dengan semua golongan yang ingin menampilkan kelainan.

Ia dijual pada harga promosi RM155 setiap satu mulai hari ini sehingga Ahad ini, berbanding harga biasa RM239 seunit.

“Warna lain seperti coklat, merah jambu dan biru akan dikeluarkan Ogos depan,” katanya.

 

Sumber: BH Online

Post a Comment

Previous Post Next Post