“Itu tidak betul, cakap-cakap orang itu, semua orang boleh cakap, BN hilang deposit itu pun kita boleh cakap.”
Demikian penegasan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa parti Amanah akan dibubarkan sekiranya calon mereka hilang wang deposit dalam pertandingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Ujarnya, beliau tidak mahu melayan ‘cakap-cakap orang’ sebaliknya ingin terus berkempen bagi memastikan Amanah menang dalam PRK kali ini.
“Saya tidak sebut pasal kalah…kami yakin kami akan menang,” katanya kepada media selepas memberi ceramah di Sayong Lembah semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Amanah akan mendapat tonik terbaik daripada rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (DAP,PKR) pada PRK kali ini.
“Kita kuat dengan Pakatan Harapan, sebab kita tidak akan kuat jika sorang-sorang,” katanya.
Parti Amanah mempertaruhkan calonnya di dua-dua PRK iaitu bagi PRK Kuala Kangsar mereka mempertaruhkan Prof Dr Ahmad Termizi Ramli sementara di PRK Sungai Besar mereka mempertaruhkan Azhar Ab Shukor.
Pengundian PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan pada 18 Jun ini.
Sumber: Sinar Harian