Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Turki mengesahkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah mengadakan lawatan rasmi ke Istanbul, Turki namun hanya sehari pada, bulan lalu.
Duta Besar Malaysia ke Republik Turki, Datuk Amran Mohamed Zin berkata, Rosmah tiba di Istanbul 25 Mei bagi memenuhi jemputan Cambridge IF Analytica sempena Global Good Governance (3G) Awards 2016 dan terus pulang ke Malaysia sejurus majlis anugerah itu selesai pada malam 26 Mei 2016.
“Datin Seri Rosmah telah menyampaikan Ucaptama pada Majlis 3G Awards tersebut, di samping menerima Anugerah 3G Children Welfare Award atas kejayaan Program Permata dipilih secara global sebagai pemenang anugerah tersebut.
“Sebagai Penaung Program Permata, Datin Seri telah diundang oleh pihak penganjur untuk menerima Anugerah tersebut.
“Penganugerahan kepada Program Permata itu merupakan satu pengiktirafan antarabangsa bagi sumbangan kepada pertumbuhan pendidikan atau pembelajaran, psikologi, intelek dan fizikal kanak-kanak.,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mendakwa Rosmah menyewa pesawat Airbus ACJ319 yang lazimnya dinaiki kenamaan, termasuk Perdana Menteri selama dua bulan untuk ke Istanbul.
Penerbangan itu dakwanya dianggarkan membabitkan kos RM86.4 juta, selain mempersoalkan kedudukan Rosmah menggunakan pesawat peribadi itu.
Majlis tersebut dianjurkan di Istanbul sempena Global Donors Forum dan Sidang Kemuncak Kemanusiaan Sedunia (World Humanitarian Summit).
Sebelum Majlis 3G Awards 2016 itu, Rosmah dikatakan turut mengadakan pertemuan dengan ahli Majlis Tertinggi Pendidikan Qatar dan Pengerusi Lembaga Penaung World Congress of Muslim Philanthropists (WCMP), Dr. Sheikha Aisha Faleh Nasser Al-Thani serta barisan kepimpinan Cambridge IF Analytica.
Sumber: Sinar Harian