Lebih 50 ribu muslim di India tandatangan petisyen larangan cerai talak 3

Lebih 50,000 wanita dan lelaki Islam di India menandatangani petisyen meminta larangan dikenakan ke atas perceraian talak tiga.

Petisyen berkenaan diterajui pertubuhan Bharatiya Muslim Mahila Andolan (BMMA) yang memohon campur tangan Suruhanjaya Wanita Kebangsaan (NCW) untuk menamatkan ‘amalan tidak bersifat al-Quran’ itu.

50,000 Muslim di India sokong larangan cerai talak tiga

50,000 Muslim di India sokong larangan cerai talak tiga

Pengasas bersama BMMA, Zakia Soman, berkata kempen tandatangan itu sedang dilancarkan di beberapa negeri termasuk Gujarat, Maharashtra, Rajasthan, Karnataka, Tamil Nadu, Telangana, Odisha, Benggala Barat, Bihar, Jharkhand, Kerala dan Uttar Pradesh

“Setakat ini, 50,000 tandatangan sudah dikumpulkan yang menyaksikan lelaki dan wanita mahu talak tiga dihapuskan, dengan banyak lagi tandatangan akan diperoleh dalam beberapa hari lagi.

“Kami sudah menulis surat kepada pengerusi NCW, Dr Lalitha Kumaramangalam, supaya menyatakan sokongannya kepada tuntutan wanita Islam yang sudah lama tergantung ini,” katanya.

Kajian BMMA baru-baru ini mendapati 92 peratus wanita Islam menyokong amalan itu dihapuskan.

Perceraian seumpama itu yang kadang-kadang dilafazkan menerusi telefon, mesej teks dan e-mel, menyebabkan wanita menderita kerana tertekan.

Perceraian talak tiga diikuti dengan amalan ‘cina buta’ menjadi beban kepada wanita Islam yang tidak menerima nafkah dan dibiarkan bersendirian untuk mencari sara hidup dan menjaga anak-anak.

Jurucakap BMMA di Bhopal, Sadiya Vaquas, berkata kes talak tiga semakin meningkat.

“Lelaki menggunakan Facebook dan SMS untuk menceraikan isteri mereka. Mereka tidak mengikut undang-undang dan pihak berkuasa menyokong mereka, bukan kami,” katanya. – Agensi

 

Sumber: BH Online

Post a Comment

Previous Post Next Post